Mitra Edge bangunkan sistem ucapan perayaan dalam talian

Astro Awani
Februari 5, 2021 06:54 MYT
Rakyat Malaysia di dalam dan di luar negara boleh meraikan dan mengucapkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina secara berkesan, mesra dan mudah melalui laman sesawang www.malaysiagreeetings.com. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kemeriahan menyambut perayaan, tidak kira untuk apa-apa agama dan bangsa, tidak akan meriah tanpa tradisi memberi ucapan dan ziarah menziarahi.
Memberi ucapan sebagai tanda ingatan pada satu-satu perayaan dan saling menziarahi merupakan tradisi yang telah sebati dengan masyarakat majmuk di Malaysia.
Bersesuaian dengan peredaran zaman, Mitra Edge memperkenalkan sebuah program e-ucapan secara atas talian sebagai satu platform yang boleh digunakan untuk membuat ucapan sempena sambutan Tahun Baru Cina serta lain-lain perayaan yang akan disambut pada tahun ini.
Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Latef Mohd, pihaknya telah membangunkan sistem e-ucapan atau 'e-greetings' dengan menggunakan pendekatan teknologi dan sistem digital secara kreatif.
“Idea ini muncul sewaktu kita menghadapi impak pandemik COVID-19 ini, dan kami berasakan seharusnya Mitra Edge memanfaatkan kepakaran teknologi syarikat untuk membantu merealisasikan program e-ucapan ini demi mengukuhkan semangat ukhuwah dan silaturahim sesama rakyat Malaysia berterusan dengan ucapan-ucapan istimewa di musim perayaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Abdul Latef berkata, individu, keluarga dan syarikat-syarikat perniagaan, rakyat Malaysia di dalam dan di luar negara boleh meraikan dan mengucapkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina secara berkesan, mesra dan mudah melalui laman sesawang www.malaysiagreeetings.com.
Katanya pihaknya mengambil inspirasi perumpamaan, “walaupun jauh di mata, namun dekat di hati” untuk menghasilkan inisiatif istimewa ini.
"Mitra Egde berhasrat mnghubungkan dan menyatukan seluruh rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi di musim perayaan sebagaimana seruan kerajaan untuk mengekalkan keharmonian kehidupan rakyat berbilang kaum dan budaya," katanya lagi.
#perayaan #Mitra Edge #e-ucapan #e-greetings #ziarah #ucapan #tradisi