SUNGAI BULOH: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) yang diamanahkan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi melaksanakan program pembangunan sosioekonomi kaum India khususnya bagi kumpulan B40, telah mengagihkan RM62 juta kepada lebih 100,000 penerima yang terdiri daripada pelajar dan masyarakat itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra Datuk R. Ramanan berkata bantuan itu turut disalurkan ke Program Bantuan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Mitra Untuk Masyarakat India.

"(Kami) akan memperkasakan Mitra pada tahun yang akan datang ini. Kalau kita tengok tahun ini (2023) kita telah selesaikan peruntukan dana RM100 juta yang telah diberikan kepada kami.

"Setakat hari ini kita telah keluarkan RM62 juta manakala baki bayaran (dan ia) akan berjalan di dalam beberapa fasa," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata demikian pada majlis Rumah Terbuka Deepavali 2023 Parlimen itu di sini, pada Ahad.

Ramanan berkata hujung tahun ini juga akan dianjurkan permukiman khas bagi pegawai-pegawai dan ketua pengarah serta ahli jawatankuasa petugas Mitra untuk membincangkan inisiatif-inisiatif yang akan ditampilkan untuk tahun yang akan datang bagi memperkasa dan memperkuatkan komuniti India di Malaysia.

"Kita akan buat perbincangan untuk mencari inisiatif-inisiatif yang bagus dan bersasar bagi komuniti B40. Kesemua inisiatif telah diambil tindakan kami telah menyumbangkannya kepada pendidikan, pendidikan tinggi, tadika, sekolah dan penjagaan kesihatan.

Beliau berkata bahagian yang paling besar yang diagihkan dalam peruntukan RM62 juta adalah pendidikan.

"Setiap tahun selagi saya masih Pengerusi Mitra keutamaan akan diberikan kepada pendidikan sebab itu adalah legasi kita, itu adalah masa hadapan kita, kita kena melabur di dalam pelajar-pelajar warganegara kita untuk masa hadapan mereka. Pendidikan adalah senjata paling utama," katanya.

-- BERNAMA