DREBAR
Mitsubishi Outlander akan muncul di Malaysia pada awal 2016

Mitsubishi Outlander generasi terbaharu sudah sah akan dilancarkan di Malaysia oleh pengedar rasminya Mitsubishi Motors Malaysia (MMM). Ia akan dilancarkan pada awal 2016 setelah sekian lama model ini hilang daripada barisan kenderaan Mitsubishi yang dijual.
Mengikut kata ketua pegawai eksekutif MMM, Yang Won-Chul, “SUV Mitsubishi Outlander ini adalah model pertama yang memperkenalkan konsep ‘Dynamic Shield’ dan dilengkapi pelbagai ciri premium dan keselamatan.”
[Dynamic Shield merujuk kepada bahagian hadapan kenderaan yang memaparkan ciri dinamik serta keselamatan yang diberikan Mitsubishi]
Maklumat yang diberikan setakat ini adalah terhad: teknologi MIVEC pada enjin, disertakan tujuh beg udara, Active Stability Control (ASC), sunroof, lampu DRL serta LED, aloi 18 inci dwi-warna serta ‘tailgate’ belakang yang dikuasakan motor elektrik. Ia juga dikatakan mempunyai kabin luas, sesuai sebagai sebuah SUV dengan kapasiti tujuh penumpang.
Tiada anggaran diberikan berkenaan harga jualan bagi model terbaharu Mitsubishi Motors Malaysia ini.