Kerajaan akan menubuhkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) yang bertujuan menjadi platform tertinggi dalam usaha memperkasa pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) pada Selasa memutuskan MKB akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, MKB merupakan sebahagian daripada kerangka intervensi strategik untuk memandu dan mempercepat pemerkasaan ekonomi Bumiputera melalui usaha peningkatan kapasiti dan keupayaan merentas pelbagai program.

"Ia selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang mendukung tiga objektif utama iaitu pembangunan untuk semua; menangani jurang kekayaan dan pendapatan; serta membina negara bersatu, makmur dan bermaruah.

"Antara lain, mesyuarat juga bersetuju memperkukuhkan peranan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dalam dua aspek utama.

"Pertama, menjadi badan koordinasi di peringkat tertinggi dengan mewujudkan jalinan dan rangkaian bersepadu serta komprehensif bersama kesemua pemegang taruh merentasi pelbagai sektor bagi memantau pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera.

"Kedua, memperkemas dan menambah baik pengkalan data berpusat Bumiputera bagi mengumpul maklumat terkini, lengkap dan berkualiti bagi perancangan dasar dan intervensi strategik," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.