MELAKA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa memantau secara menyeluruh ancaman keganasan di pelbagai medium termasuk di media sosial, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.

Beliau berkata ia termasuk sebarang ancaman keganasan susulan pendirian tegas dan sokongan Malaysia terutama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

"...kita sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan itu.

"MKN juga telah mengeluarkan arahan baharu mengenai prosedur operasi standard berkaitan keganasan baru-baru ini dan ia akan menjadi garis panduan untuk pihak berkuasa menangani ancaman keganasan tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Latih Amal Keselamatan Menyeluruh (Ex Comsec) 2023 yang berlangsung selama empat hari bermula Selasa, melibatkan pelbagai agensi keselamatan dan pihak swasta.

Raja Nushirwan berkata kerajaan tidak pernah mengambil mudah isu keselamatan negara dalam apa juga konteks ancaman termasuk ancaman palsu, malah MKN sentiasa memperkemas prosedur operasi standard (SOP) serta tahap kesiapsiagaan semua pasukan keselamatan di negara ini seperti menerusi Latih Amal Keselamatan Menyeluruh.

Dalam pada itu, beliau berkata insiden keganasan di negara jiran seperti insiden tembakan di pusat beli-belah di Thailand pada Oktober lepas turut menjadi peringatan kepada negara untuk sentiasa berwaspada.

"Isu keganasan ini kita kena lihat secara menyeluruh termasuk kemungkinan aktiviti 'lone wolf' iaitu pembabitan seorang individu dalam gerakan keganasan," katanya.

Pada Oktober lepas, media melaporkan pengurusan sebuah pusat beli-belah dan hotel di Johor menerima ancaman bom menerusi panggilan telefon namun disahkan palsu oleh pihak polis.

Ancaman palsu itu disyaki dilakukan seorang lelaki warga asing.

-- BERNAMA