MM2H: Perhalusi syarat untuk tarik lebih ramai peserta - PAMJ

Astro Awani
Ogos 31, 2021 08:39 MYT
Syed Hussien berkata, langkah itu penting bagi memastikan langkah-langkah pemulihan pasca COVID-19 dapat dilaksanakan. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memperhalusi dan melihat semula syarat-syarat pelaksanaan Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi menarik lebih ramai peserta menyertai program yang menyumbang hampir RM19.1 bilion kepada ekonomi negara.
Presiden Persatuan Anak Melayu Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor (PAMJ), Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee berkata, langkah itu penting bagi memastikan langkah-langkah pemulihan pasca COVID-19 dapat dilaksanakan seiring bagi memastikan kemakmuran ekonomi bersama.
"PAMJ menyokong penuh titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar syarat ketat program MM2H dikaji semula.
"Kita harus menarik lebih ramai pekerja asing berkualiti, berkemahiran tinggi dan professional dalam bidang tertentu serta golongan ahli perniagaan yang mampu membantu merancakkan lagi pembangunan ekonomi negara.
"Buat masa ini, negara bukan sahaja perlukan pelabur domestik tetapi juga lebih ramai pelabur asing bagi membantu memulihkan ekonomi dengan cepat disebabkan penularan pandemik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA: Program Malaysia My Second Home diaktifkan semula
BACA: Kerajaan perlu semak semula syarat ketat program MM2H - Sultan Johor
Sebelum ini, Sultan Ibrahim bertitah agar kerajaan mengkaji semula pelaksanaan program MM2H bagi mencapai keseimbangan positif terhadap kemasukan pelabur serta pertumbuhan ekonomi negara.
Baginda bertitah, kajian perlu dibuat kerana program MM2H yang kembali dilaksanakan dengan beberapa syarat baharu kepada peserta program dilihat terlalu ketat.
Sehubungan itu titah Sultan Ibrahim, hal itu dibimbangi akan menjejaskan kemasukan peserta baharu selain menjejaskan pemegang pas MM2H sedia ada.
Dalam pada itu, Syed Hussien berkata, PAMJ akan sentiasa berdiri teguh dan menyokong titah Sultan Ibrahim dan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di dalam memastikan pertumbuhan positif ekonomi negara di samping memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terkawal.
Sejak program MM2H dimulakan pada tahun 2002, seramai 57,478 warga asing diberikan pas jangka panjang sebelum program itu dihentikan pada September 2018 untuk dikaji semula dengan syarat-syarat baharu diperkenalkan.
Dibawah syarat baharu, peserta perlu mempunyai pendapatan sebanyak RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini, pemilikan akaun simpanan RM1 juta selain peserta juga perlu pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta.
Selain itu, kadar fi pas daripada RM90 dinaikkan kepada RM500 setahun dan fi proses pula sebanyak RM5,000 bagi prinsipal serta RM2,500 bagi setiap tanggungan.
#COVID-19 #ekonomi #warga asing #Sultan Johor #mm2h