MALAYSIA
MMA gesa Pelan Induk Nasional tangani krisis tenaga kerja kesihatan
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta kerajaan merangka pelan induk nasional yang komprehensif bagi menangani masalah kekurangan petugas kesihatan yang semakin meruncing. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta kerajaan merangka pelan induk nasional yang komprehensif bagi menangani masalah kekurangan petugas kesihatan yang semakin meruncing.
Presiden MMA, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata, isu berkenaan bukan lagi bersifat jangka pendek, sebaliknya menjadi kebimbangan kepada daya tahan sistem kesihatan awam negara sekali gus memerlukan reformasi jangka panjang berasaskan data bagi menjamin kemampanannya.
"Malaysia amat perlukan perancangan sumber manusia dalam sektor kesihatan yang menyeluruh dan berpandangan jauh. Usaha ini perlu bermula dengan analisis terhadap data semasa, termasuk pemetaan taburan petugas kesihatan di seluruh negara serta mengenal pasti jurang berdasarkan keperluan khusus setiap negeri atau kawasan," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, menerusi perancangan rapi, kerajaan dapat membuat unjuran terhadap jumlah doktor pakar, jururawat dan profesional kesihatan bersepadu yang diperlukan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
"Sama penting, malah lebih utama adalah keperluan mempunyai strategi nasional yang kukuh bagi mengekalkan petugas kesihatan sedia ada dalam sistem. Ini termasuk pelaksanaan penambahbaikan tersusun meliputi aspek gaji, elaun, peluang kenaikan pangkat serta laluan kerjaya lebih jelas untuk pembangunan profesional," katanya.
Menurut Dr Kalwinder, Malaysia sedang menghampiri status negara tua dan perubahan demografi ini akan meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan terutama dalam bidang geriatrik, pengurusan penyakit kronik, pemulihan dan penjagaan jangka panjang.
Beliau berkata, masalah kekurangan petugas kesihatan berpunca daripada faktor seperti peletakan jawatan, persaraan, agihan kakitangan tidak seimbang serta kemasukan baharu semakin berkurangan ke dalam sektor awam hingga menyumbang kepada situasi masa menunggu lebih lama dan tahap keletihan petugas sedia ada yang semakin membimbangkan.
"Jika tidak ditangani segera, situasi ini boleh memburuk dengan lebih ramai profesional kesihatan meninggalkan sektor awam...ini boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan sistem penjagaan kesihatan awam kita yang ketika ini menampung kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan populasi," katanya.
Mengulas mengenai sistem e-penempatan yang diperkenalkan baru-baru ini untuk graduan perubatan, Dr Kalwinder berkata, MMA optimis langkah itu dapat mewujudkan agihan doktor lebih adil dan praktikal.
"Kami harap sistem ini akan membolehkan pengagihan doktor lebih baik dan adil di seluruh negara berdasarkan keperluan fasiliti sambil mengambil kira pilihan serta kekangan individu untuk penempatan jauh dari tempat asal mereka," katanya.
Dr Kalwinder menyokong pemberian insentif bersasar seperti elaun kesusahan, sokongan perumahan dan penstrukturan semula gaji namun menegaskan, faktor bukan kewangan seperti jaminan kerjaya, peluang kenaikan pangkat dan latihan kepakaran juga penting dalam usaha mengekalkan doktor dalam sistem kesihatan awam.
Bagi memastikan penyelarasan berkesan, beliau mencadangkan penubuhan sebuah badan peringkat kebangsaan yang dianggotai Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama wakil persatuan profesional serta pemain sektor kesihatan.
Antara langkah segera yang dicadangkan MMA termasuk pakej imbuhan kompetitif, kenaikan elaun atas panggilan (on-call), peluasan latihan kepakaran, laluan kenaikan pangkat, penambahbaikan persekitaran kerja, insentif penempatan luar bandar dan pemansuhan sistem kontrak.
"MMA sedia membantu kerajaan dengan menyumbang pandangan serta kepakaran khususnya dalam menangani realiti di peringkat akar umbi. Tindakan berani dan penyelarasan menyeluruh amat diperlukan segera sekiranya kita mahu membina sistem penjagaan kesihatan awam yang mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan demi memenuhi keperluan rakyat semakin meningkat dan berubah-ubah," katanya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Malina Osman berkata, pemberian ganjaran kepada petugas kesihatan semata-mata bukan jalan keluar, sebaliknya pendekatan yang lebih menitikberatkan aspek emosi dan kesejahteraan kakitangan kesihatan kini amat diperlukan.
"Walaupun kerajaan mungkin tidak mampu memberikan insentif kewangan sepenuhnya, sekurang-kurangnya berikan sokongan emosi melalui kelonggaran yang membolehkan mereka kekal bersama keluarga, contohnya dengan memperkenalkan sistem rotasi lebih fleksibel," katanya.
Beliau turut mencadangkan pakar perubatan berkemahiran pentadbiran ditempatkan di sektor perjawatan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), supaya realiti sebenar beban tugas doktor dan kakitangan kesihatan dapat difahami dan dihayati dengan lebih mendalam.
-- BERNAMA

#MMA
#Persatuan Perubatan Malaysia
#tenaga kerja kesihatan
#Pelan Induk Nasional
#krisis tenaga kerja