MALAYSIA
Modul Latihan Memerangi Berita Palsu dijangka diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN - Fahmi

Fahmi ketika sidang media selepas menyempurnakan perasmian "Seminar on Developing Traning Module for Combating Fake News in ASEAN 2025" hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Modul Latihan Memerangi Berita Palsu dijangka diterima pakai sebagai sebahagian daripada Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab untuk ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan yang akan berlangsung akhir bulan ini.
Ringkasan AI
- Modul Latihan Memerangi Berita Palsu dijangka diterima pakai dalam Deklarasi Kuala Lumpur pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, sebagai panduan menangani berita palsu, maklumat salah dan mengelirukan di rantau ini.
- Modul ini dibangunkan berasaskan lima aspek utama: Salah Maklumat Moden, Salah Maklumat Dipacu AI & Deepfake, Semakan Fakta Digital, Kerangka Undang-undang ASEAN, serta Nilai & Etika.
- Fahmi Fadzil menegaskan keperluan Internet yang selamat dan bebas berita palsu, sambil mengkritik platform media sosial yang enggan bertindak tegas terhadap deepfake, penipuan dan jenayah dalam talian.
"Insya-Allah, kita akan menerima pakai modul ini menerusi Deklarasi Kuala Lumpur yang akan ditandatangani pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab terhadap Maklumat (AMRI) pada Sidang Kemuncak ASEAN dalam tempoh 24 hari akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata seminar dua hari berkenaan yang berakhir hari ini bertujuan meningkatkan kesedaran, terutama dalam kalangan pengamal media ASEAN mengenai teknik terkini yang boleh digunakan menerusi platform untuk memerangi berita palsu.
Terdahulu, dalam ucaptamanya, Fahmi berkata semasa pandemik COVID-19, berita palsu telah memberi kesan buruk terhadap komuniti dan pada masa ini, khususnya dalam keadaan konflik geopolitik di rantau ini, maklumat digunakan sebagai senjata, yang sering menjadikan orang awam menjadi mangsa tidak langsung.
"Hari ini kita berdepan dengan apa yang boleh kita gelar sebagai infodemik. Ini adalah era baharu iaitu dengan pelbagai platform media sosial dan komunikasi yang tidak lagi bersifat satu hala tetapi pelbagai hala, kita telah menyaksikan dalam ASEAN bagaimana penyebaran berita palsu boleh memberi kesan yang sangat melemahkan.
"Itulah sebabnya di Malaysia kita mengambil langkah proaktif dengan memanggil platform media sosial, termasuk TikTok, dan menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dengan undang-undang yang jelas, tidak boleh membenarkan penyebaran berita palsu yang disebarkan melalui platform mereka dan dipengaruhi oleh algoritma yang tidak terkawal," katanya.
Beliau turut menyelar keengganan platform media sosial untuk mengambil tindakan lebih tegas dalam memerangi jenayah dalam talian, termasuk deepfake, penipuan dan fraud.
Dianjurkan oleh Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dengan kerjasama Institut Pembangunan Penyiaran Asia-Pasifik (AIBD), modul berkenaan dibangunkan berasaskan lima aspek utama iaitu Memahami Salah Maklumat Moden, Salah Maklumat Dipacu AI dan Deepfake, Semakan Fakta dan Pengesahan Digital, Kerangka Undang-undang dan Etika di ASEAN serta Nilai dan Etika.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami