MALAYSIA
MOF tambah baik perolehan PRE-Q terpilih jika diperkenal semula - Lim

Lim pada sesi jawab lisan sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) akan meneliti penambahbaikan secara menyeluruh jika Kaedah Perolehan Tender Terbuka Pra-Kelayakan Terpilih (Perolehan Pre-Q Terpilih) diperkenalkan semula.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata penambahbaikan tersebut perlu melihat kepada usaha menangani aspek yang boleh membuka ruang manipulasi selain memastikan setiap proses dilaksana dengan telus.
"Perolehan Pre-Q Terpilih merupakan satu kelonggaran kaedah perolehan yang ditambah baik daripada kaedah perolehan sedia ada iaitu tender terbuka prakelayakan yang dikuatkuasakan melalui Pekeliling Perbendaharaan Kementerian Kewangan dengan hasrat untuk memendekkan tempoh perolehan.
"Projek yang melalui proses perolehan ini dapat ditawarkan dengan segera kepada syarikat yang berjaya," katanya ketika menggulung Perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 di Dewan Rakyat di sini hari ini.Mengulas lanjut, Lim berkata kementerian itu akan memperhalusi penempatan mekanisme kawalan yang akan menutup ruang manipulasi di kedua-dua peringkat pelawaan tender.
"Ia bagi mengelakkan syarikat yang tidak memenuhi kriteria dipilih untuk diletakkan dalam senarai pendek di peringkat pertama dan mempunyai peluang untuk dipelawa di peringkat kedua sekiranya Perolehan Pre-Q Terpilih dibenarkan penggunaannya pada masa hadapan," katanya.
Pada 21 Julai, LKAN 2/2025 memaklumkan pelaksanaan Perolehan Pre-Q Terpilih di tiga kementerian tidak mencapai objektif untuk menyegerakan proses perolehan disebabkan wujudnya manipulasi dan ketidaktelusan pemilihan syarikat apabila hanya syarikat tertentu diluluskan untuk menyertai tender.
Pelaksanaan Perolehan Pre-Q Terpilih ini dari tempoh 15 Mac 2023 hingga 31 Dis, 2024.
Sementara itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan LKAN 2/2025 merupakan audit yang dijalankan ke atas Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang ketika itu bertanggungjawab terhadap proses perolehan.
Katanya antara isu yang berbangkit iaitu syarat dan kriteria pelawaan peringkat pertama kepada syarikat yang tidak dipatuhi serta isu pelawaan berulang kali kepada syarikat sama bagi projek berlainan.
"Kaedah pemilihan sumber maklumat atau dokumen syarikat untuk penilaian peringkat pertama dibentang dan dipersetujui oleh Lembaga Perolehan NRECC ketika itu manakala bagi isu kedua, ia berlaku kerana berdasarkan semakan bilangan syarikat yang dinilai lulus di peringkat prakelayakan berjumlah 52 syarikat," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami