MALAYSIA

Mohamad Hasan ketuai delegasi Malaysia ke UNGA di New York

Bernama 24/09/2025 | 15:40 MYT
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan menghadiri Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA 2025) di New York bermula esok hingga Ahad. - Gambar fail/BERNAMA
NEW YORK: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan menghadiri Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA 2025) di New York bermula esok hingga Ahad.


Ringkasan AI
  • Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan menghadiri UNGA ke-80 di New York dari esok hingga Ahad.
  • Beliau dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi Debat Umum Ahad ini serta mengadakan beberapa pertemuan dua hala.
  • Penyertaan Malaysia menzahirkan komitmen terhadap keamanan, perdagangan, teknologi baharu dan pembangunan mampan.


Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Mohamad dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi Debat Umum pada Ahad, pukul 5 pagi (waktu Malaysia).

"Selain menyertai beberapa mesyuarat peringkat tertinggi, Mohamad juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," menurut kenyataan itu.

Penyertaan Malaysia dalam UNGA 2025 menzahirkan komitmen teguh Kerajaan MADANI terhadap multilateralisme dan usaha memperkukuh kerjasama global.

"Khususnya dalam memajukan keamanan dan keselamatan, perdagangan dan pelaburan, ekonomi hijau, teknologi baharu serta pembangunan mampan," menurut Wisma Putra.

UNGA 2025 bertemakan Better together: 80 Years and More for Peace, Development and Human Rights.

-- BERNAMA

#Mohamad Hasan #ketuai delegasi Malaysia #Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #UNGA 2025 New York