[TERKINI] Peguam Negara Arah Kubur Zara Qairina Digali Semula – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Mohamad ketuai lawatan ke Myanmar 19 Sept, teliti situasi terkini

Bernama 08/08/2025 | 07:00 MYT
Mohamad berkata lawatan itu bertujuan menilai situasi pentadbiran baharu selepas pentadbiran junta dibubarkan dan darurat ditamatkan. - Gambar fail
CYBERJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai lawatan rasmi ke Myanmar pada 19 Sept ini, bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Filipina dan Indonesia.


Ringkasan AI
  • Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai lawatan rasmi ke Myanmar pada 19 September bersama rakan sejawat dari Thailand, Filipina dan Indonesia bagi menilai situasi pentadbiran baharu selepas darurat ditamatkan dan junta dibubarkan.
  • Lawatan ini bertujuan memastikan kesinambungan kepimpinan ASEAN menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan memberi ruang kepada Filipina sebagai Pengerusi ASEAN 2026 memahami isu semasa Myanmar.
  • Mohamad Hasan akan mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan pilihan raya di Myanmar memandangkan 63 kawasan masih tertakluk kepada perintah darurat walaupun darurat peringkat negara telah dibatalkan.


Beliau berkata lawatan itu bertujuan menilai situasi pentadbiran baharu selepas pentadbiran junta dibubarkan dan darurat ditamatkan.

"Dulu mereka (Thailand, Filipina dan Indonesia) pergi sendiri-sendiri, tapi kita mengamalkan kebersamaan. Kita bawa Filipina juga sebab Filipina akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2026.

"Kita mahu kesinambungan supaya Pengerusi yang akan datang tahu apa nak dilakukan, apa perlu dibuat. Jadi tidak terputus-putus. Kita akan menyambung dan meneruskan apa yang kita lakukan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari ASEAN ke-58 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Mohamad berkata Myanmar perlu menterjemahkan komitmen yang telah dibuat, iaitu memanjangkan dan memperluas gencatan senjata.

"Saya akan pergi ke sana, besar kemungkinan pada tarikh yang diberi iaitu 19 Sept, sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober," katanya.

Mohamad berkata Myanmar telah mengumumkan dengan jelas rancangan mengadakan pilihan raya dan keputusan membatalkan atau tidak menyambung darurat itu dibuat kerana ia termaktub dalam Perlembagaan negara tersebut.

Namun, Mohamad berkata beliau mahu mendapatkan penjelasan sama ada pilihan raya itu akan dilaksanakan secara menyeluruh memandangkan masih terdapat 63 bandar atau kawasan yang dikenakan darurat oleh Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara (NDSC) Myanmar.

"Negara membatalkan darurat, tetapi 63 kawasan ini masih tertakluk pada perintah darurat. Saya nak dapatkan gambaran jelas untuk saya bawa kepada ke pengetahuan kepimpinan ASEAN pada Oktober ini," katanya.

Pada 31 Julai lepas, dilaporkan junta Myanmar mengumumkan penubuhan sebuah badan baharu bagi menganjurkan pilihan raya umum hujung tahun ini, sekali gus menamatkan perintah darurat yang dikuat kuasa sejak rampasan kuasa 2021.

Berikutan penubuhan Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan baharu yang turut dipengerusikan oleh Min Aung Hlaing, junta memaklumkan bahawa perintah darurat secara rasmi ditamatkan.

-- BERNAMA



#ASEAN25 #Mohamad Hasan #Myanmar #Malaysia