[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Mohamad Sabu yakin harga santan akan stabil bulan depan

Astro Awani 28/04/2025 | 11:12 MYT
Mohamad ditemui media selepas Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KPKM di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini. - Foto Astro AWANI/ Shahir Omar.
SERDANG: Harga santan segar yang masih mahal dijangka akan stabil semula pada awal bulan depan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Ringkasan AI
  • Harga santan segar dijangka stabil semula awal bulan depan, selepas peningkatan akibat musim perayaan Aidilfitri, dengan langkah kerajaan mengimport kelapa dari Indonesia, Sabah, dan Sarawak bagi menstabilkan bekalan.
  • Bekalan lembu mencukupi sepanjang Syawal, tanpa kenaikan harga yang mendadak, dengan harapan harga kekal stabil menjelang Hari Raya Aidiladha bagi memastikan akses yang lebih baik kepada pengguna.
  • Insiden 25 ternakan yang mati akibat penyakit hawar berdarah di Kuala Terengganu sedang dalam pemantauan, bagi memastikan langkah kawalan yang efektif dapat diambil untuk mengelakkan penyebaran penyakit.

Beliau turut menyifatkan faktor ketidakstabilan harga santan adalah kerana musim perayaan Aidilfitri dan berharap ianya akan reda menjelang Hari Raya Aidiladha pada Jun nanti.
“Kita yakin bulan depan barangkali akan stabil, sebab sekarang ini musim rumah terbuka (Aidilfitri) masih berjalan,” katanya.
Mengulas lanjut Mohamad berkata antara langkah yang diambil adalah dengan mengimport kelapa dari Indonesia, Sabah dan Sarawak.
“Walau bagaimanapun kita juga akan mengambil langkah mengimport tambahan lagi dari Indonesia, Sabah dan Sarawak kita akan buat import tambahan,” katanya.
Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata demikian semasa ditemui media selepas Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KPKM di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.
Ditanya mengenai harga bekalan lembu sepanjang Syawal, Mohamad berkata, tidak berlaku sebarang kenaikan dalam tempoh itu dan berharap harga akan kekal selepas ini tanpa perubahan mendadak.
“Lembu mencukupi dan harga lembu untuk Syawal tahun ini harganya agak rendah dan kita harap harganya tidak mendadak naik untuk raya korban,” katanya lagi.
Tambahnya insiden 25 ternakan terutama kerbau yang mati akibat dijangkiti penyakit 'Heamoragic Septicaemia' (HS) atau hawar berdarah di daerah Kuala Terengganu sejak minggu lalu sedang dalam pemantauan ketika ini.
#Mohamad Sabu #harga santan segar #import kelapa #Aidilfitri