KUALA LUMPUR: Lawatan kerja rasmi Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Jepun bermula hari ini, diharap membawa manfaat nyata kepada pertahanan negara di samping meningkatkan persefahaman dalam mendepani cabaran keselamatan serantau.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata lawatan empat hari berlandaskan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Jepun itu bermatlamat memperkukuh hubungan pertahanan dan memperluas ruang kerjasama antara kedua-dua negara.
Mohamed Khaled yang selamat tiba di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo memaklumkan antara agenda utama lawatan berkenaan ialah mesyuarat dua hala bersama Menteri Pertahanan Jepun Shinjiro Koizumi dan Menteri Luar Toshimitsu Motegi.
"Saya juga dijadual menghadiri majlis penandatanganan dokumen bantuan geran di bawah program Official Security Assistance (OSA) Kerajaan Jepun," katanya.
Beliau berkata lawatan itu turut melibatkan pertemuan bersama Acquisition, Technology & Logistics Agency (ATLA) negara berkenaan, serta lawatan ke syarikat pertahanan Jepun, Toshiba.
Terdahulu, ketibaan Mohamed Khaled di Tokyo disambut Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani serta Atase Pertahanan Malaysia di Tokyo Kepten Mohamad Fazri Ibrahim.
Turut menyertai delegasi lawatan kerja itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Datuk Mohd Yani Daud dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia Lt Jen Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri.
-- BERNAMA