KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Mohd Hasbie Muda dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan gagal memaklumkan pihak polis berhubung perhimpunan membantah kenaikan harga barang di ibu negara, Julai tahun lepas.

Peguam Muhammad Faiz Fadzil yang mewakili Mohd Hasbie memberitahu pemberita, ini berikutan pihak pendakwaan telah mendapat arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan terhadap Mohd Hasbie, 35, yang juga ahli Dewan Negara.

"Pihak kami menghantar representasi pada 17 Mac lepas untuk menarik balik pertuduhan terhadap anak guam kami yang didakwa di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

"Oleh itu, Mohd Hasbie dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Majistret Wong Chai Sia hari ini," kata peguam itu.

Pihak pendakwaan mengesahkan perkara tersebut.

Pada 18 Ogos tahun lepas, Mohd Hasbie mengaku tidak bersalah atas pertuduhan selaku penganjur gagal memberitahu pegawai polis yang menjaga daerah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpuan di Masjid Jamek Kampung Baru, Jalan Raja Alang di sini pada pada 2 petang 1 Julai 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Muhammad Faiz dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan keputusan tersebut satu permulaan positif kerajaan MADANI yang menghormati hak dan kebebasan sivil untuk berhimpun serta menyatakan pandangan sepertimana dinyatakan dalam Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"Dengan keputusan ini, perjuangan kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat ini dilihat benar-benar telus kerana perhimpunan aman itu dianggap tidak lagi menyalahi undang-undang oleh Jabatan Peguam Negara," kata peguam itu.

-- BERNAMA