[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Mohd Khaidzir Shahari dilantik CEO baharu Lembaga Zakat Selangor

Bernama 28/03/2025 | 05:30 MYT
LZS memaklumkan pelantikan Mohd Khaidzir (gambar) bagi menggantikan Mohd Sabirin Mohd Sarbini yang akan melengkapkan penggal perkhidmatan tiga tahun sebagai CEO LZS pada 31 Mac ini. - Gambar/ Bernama
SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengumumkan pelantikan Mohd Khaidzir Shahari sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu, berkuat kuasa pada 7 April ini.
LZS dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan Mohd Khaidzir itu bagi menggantikan Mohd Sabirin Mohd Sarbini yang akan melengkapkan penggal perkhidmatan tiga tahun sebagai CEO LZS pada 31 Mac ini.
"LZS berharap pelantikan Mohd Khaidzir dapat memperkukuh pengurusan dan gerak kerja, di samping mempertingkatkan tadbir urus korporat agar terus berdaya saing serta memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di Selangor, khususnya golongan asnaf," menurut kenyataan itu.
Mohd Khaidzir mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang tadbir urus korporat, kewangan, pengurusan risiko, pematuhan, kawalan dalaman dan pengauditan.
LZS-CEO 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Sepanjang kerjayanya, Mohd Khaidzir memainkan peranan penting dalam penilaian kawalan dalaman, audit risiko dan penstrukturan tadbir urus korporat.
Beliau juga berpengalaman dalam memberi khidmat nasihat dan pengauditan kepada pelbagai entiti, termasuk syarikat antarabangsa, syarikat tersenarai awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), institusi kewangan serta agensi antarabangsa.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Khaidzir merupakan akauntan bertauliah dari Institut Akauntan Malaysia (MIA), ahli bertauliah di Chartered Institute of Management Accountant (CIMA), Certified Global Management Accountant (CGMA) dan Certified Internal Auditor (CIA) selain menganggotai Jawatankuasa Kewangan Islam, MIA.
Atas kepakarannya, beliau turut diberi kepercayaan menjadi Presiden Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM).
-- BERNAMA
#Lembaga Zakat Selangor #LZS #Mohd Khaidzir Shahari #CEO