SEPANG: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menyerahkan sepenuhnya kepada proses mahkamah berhubung pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Majistret Sepang hari ini.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 28 September lalu.
Ketika ditemui media sebelum prosiding mahkamah bermula, Mohd Shuhaily berkata beliau menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut.
“Saya akan membiarkan proses mahkamah berjalan sebagaimana sepatutnya.
“Apa yang saya ingin sebutkan di sini ialah ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh masyarakat yang memberikan sokongan dan doa. Itulah yang memberi saya kekuatan dan keyakinan untuk meneruskan proses ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa itu merupakan sidang medianya yang terakhir berkaitan isu berkenaan.
Menurutnya, selepas selesai urusan mahkamah, sebarang kenyataan lanjut mengenai kes itu hanya akan dibuat menerusi peguamnya.