Skip to main content

Malaysia

Mohd Uzir tinggal legasi transformasi statistik negara - DOSM

Sumber: DOSM
DOSM berterima kasih kepada Mohd Uzir yang bersara wajib semalam atas bakti, dedikasi serta kepimpinan cemerlang beliau. - Foto DOSM
Advertisement

PUTRAJAYA: Tempoh 36 tahun perkhidmatan Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin meninggalkan legasi besar apabila berjaya memperkukuh sistem statistik negara menerusi agenda Pengukuhan Sistem Statistik Negara (PSSN) yang menjadi tunjang kepada pemerkasaan koordinasi dan kualiti statistik rasmi merentasi kementerian dan agensi kerajaan.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan melalui agenda itu, pelbagai pembaharuan strategik dilaksanakan termasuk penubuhan Majlis Statistik dan Data Negara sehingga ke peringkat negeri dan daerah, pemodenan Akta Perangkaan 1965 agar selari dengan era digital serta pembangunan keupayaan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan sains data. 

“Inisiatif itu meletakkan asas kukuh ke arah pembentukan ekosistem data yang lebih moden, bersepadu dan responsif. 

“Beliau turut mempelopori agenda pendemokrasian data menerusi OpenDOSM NextGen yang memperluas akses rakyat kepada statistik rasmi secara terbuka dan mesra pengguna selain menambah baik inisiatif digital seperti MyPAKW dan MyLabourHub bagi memastikan perkhidmatan statistik kekal relevan dengan keperluan semasa,” menurut kenyataan itu.

DOSM memaklumkan pendekatan Mohd Uzir lebih granular melalui penerbitan Laporan Statistik Kawasan Parlimen, Dewan Undangan Negeri, MyLocalStats serta Keluaran Dalam Negeri Kasar Daerah yang membuka dimensi baharu dalam pembangunan wilayah dan perancangan tempatan.

Sepanjang menerajui DOSM, beliau turut memimpin pelaksanaan projek strategik berimpak tinggi yang memanfaatkan integrasi data dan analitik lanjutan termasuk Pangkalan Data Utama (PADU), MyLabourHub, MyPAKW, TaniStats, Kalkulator Jangka Hayat dan penubuhan Pusat Analitik Data Raya Negara. 

“Komitmen itu turut diterjemahkan melalui pengenalan Kalkulator Sebab Kematian, Dashboard Interaktif Orang Asli Malaysia dan Dashboard Beyond GDP,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 juga menjadi pencapaian signifikan DOSM di bawah pimpinan anak jati Sabak Bernam, Selangor itu kerana berjaya dilaksanakan menggunakan pendekatan digital walaupun negara berhadapan pandemik COVID-19 semasa itu.

Pada peringkat antarabangsa, Mohd Uzir konsisten mewakili Malaysia dalam Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dari 2017 selain memegang beberapa jawatan kepimpinan penting termasuk Pengerusi Sistem Statistik Komuniti ASEAN serta Pengerusi Majlis Pentadbir Institut Statistik bagi Asia dan Pasifik.

Di bawah kepimpinan beliau, Malaysia mencipta sejarah apabila menduduki tempat pertama dunia dalam Inventori Data Terbuka selain menjadi tuan rumah Kongres Statistik Dunia 2019 Institut Statistik Antarabangsa dan Forum Statistik ASEAN-Malaysia 2025, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai antara peneraju statistik rasmi dunia.

Mohd Uzir turut membudayakan penggunaan statistik menerusi pengisytiharan Hari Statistik Negara pada setiap 20 Okt selain memperkasakan pembangunan modal insan melalui Program Pembangunan Keupayaan Statistik yang melahirkan 49 saintis data DOSM serta Institut Latihan Statistik Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pembangunan kapasiti statistik negara.

DOSM berterima kasih kepada Mohd Uzir yang bersara wajib semalam atas bakti, dedikasi serta kepimpinan cemerlang dan menyifatkan legasi beliau akan terus menjadi inspirasi dalam meneruskan agenda pembangunan statistik negara demi kemakmuran Malaysia MADANI.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement