Suatu masa nanti Sime Darby Auto Connexion (SDAC) pasti akan mula menjual Ford Mondeo generasi terbaru di pasaran tempatan, namun sehingga itu terjadi mereka yang berminat untuk memiliki sedan segmen D yang lebih unik, berbanding Camry, Accord dan 508 contohnya, masih boleh membelinya dengan harga kurang sedikit RM200,000. Ia memang sebuah sedan yang mempunyai pengendalian yang jitu, keselesaan tinggi dan ruang kabin yang luas.

Namun begitu, ia tidak dilengkapi dengan sistem tapisan udara termaju sepertimana yang dipasang pada Mondeo generasi terkini. Mengikut pengerangan daripada Ford, sistem tapisan ini mampu untuk menapis sehingga 99% debunga (pollen), bau-bauan kurang menyenangkan, dan pencemaran udara. Salah satu penyebab kepada serangan asma iaitu nitrogen dioksida juga dapat dihalang sepenuhnya.

Mengikut kata Volker Scheer, pakar teknikal daripada Ford Eropah mengenai kesihatan dan alam sekitar, penapis ini adalah 50% lebih cekap daripada sebelumnya dalam menyekat partikel-partikel terhalus yang kurang satu perseribu daripada ketebalan rambut manusia. Sistem baru ini telah dibangunkan di Pusat Kajian Ford Eropah di Aachen, Jerman, dan menggunakan arang diaktifkan sepertimana yang digunakan pada topeng gas termaju, alat bantuan pernafasan dan juga sut angkasawan.

Sensor kualiti udara akan mengesan tahap gas karbon monoksida dan nitrogen dioksida di luar kereta dan menutup corong udara yang membawa udara luar masuk. Ia juga akan dengan sendirinya mengaktifkan sistem penapisan baru ini dan mula mengitarkan udara.

“Pasukan penyelidikan kita memandu kereta ujian di dalam kesesakan lalulintas dan kawasan dengan pencemaran tinggi, di samping terowong dan luar bandar, “ kata Volker Scheer.
“Hasilnya adalah sistem tapisan dengan kualiti yang sebelum ini hanya dilihat di dalam kereta termewah. Ia juga sangat tahan lama; jangka masa sebelum sistem tapisan di dalam Mondeo baru ini perlu diganti adalah 2 tahun ataupun hampir 29,000 kilometer – dua kali ganda berbanding sebelumnya.

Teknologi ini akan mendatangkan kebaikan kepada mereka di Eropah yang kerap menghadapi masalah gangguan alergi (hay fever). Mengikut kajian yang dilakukan oleh Universiti Perubatan Vienna, lebih daripada suku jumlah orang Eropah menghidap gangguan alergi daripada bahan-bahan di udara.

Antara masalah yang datang daripada ini adalah gangguan kepada pemandu; kebolehan untuk membuat keputusan dengan tepat dan pantas akan terganggu sepertimana seorang yang mempunyai tahap alkohol di dalam darah sebanyak 0.04%, ini sudah hampir kepada had sah di kebanyakkan negara di Eropah.

Di samping itu, apabila seseorang itu bersin ketika memandu pada kelajuan 95km/sj, jarak yang dilalui ketika itu (mata tertutup, sebagainya) adalah lebih kurang 20 meter. Ini jelas sangat merbahaya dan menimbulkan risiko yang tersendiri.

Di Malaysia, sistem ini pasti boleh menjadi suatu yang berguna ketika negara melalui musim jerubu. Kita tunggu sahaja bila Ford Mondeo generasi terbaru akan diperkenalkan.