NATIONAL
Monsun Barat Daya bermula 10 Mei sehingga September - MetMalaysia
Kemuncak monsun berkenaan dijangka berlaku antara Julai hingga September. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 10 Mei dan berterusan sehingga September ini susulan tiupan angin yang mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara.
Ringkasan AI
- Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 10 Mei hingga September, dengan angin bertiup dari arah barat daya. Kelembapan udara rendah menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan, mengakibatkan jumlah hujan yang lebih rendah dan lebih banyak hari tanpa hujan.
- Hujan lebat, angin kencang, dan ribut petir masih boleh berlaku di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak, dan barat Sabah, terutamanya pada awal pagi disebabkan fenomena garis badai (squall line).
- Pada kemuncak monsun antara Julai hingga September, jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku jika pembakaran terbuka tidak dikawal. Orang ramai dinasihatkan mengelakkan pembakaran terbuka dan menggunakan air secara berhemah. Maklumat cuaca terkini boleh didapati melalui laman sesawang rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi, atau talian hotline 1-300-22-1638.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Mohd Hisham Mohd Anip berkata sepanjang musim tersebut, kadar kelembapan udara lazimnya rendah, sekali gus menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat.
"Sehubungan itu, negara akan menerima jumlah hujan yang lebih rendah berbanding tempoh lain dengan bilangan hari tanpa hujan adalah lebih banyak berbanding bilangan hari hujan.
"Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah, terutamanya pada awal pagi, berikutan kehadiran fenomena garis badai (squall line). Ia merupakan barisan ribut petir yang terbentuk akibat daripada penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata ketika kemuncak monsun berkenaan iaitu antara Julai hingga September, fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.
Mohd Hisham turut menasihatkan agar sebarang pembakaran terbuka dielakkan bagi mengurangkan risiko pencemaran jerebu, selain menggalakkan orang ramai menggunakan air secara berhemah sepanjang musim itu.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca, media sosial rasmi jabatan berkenaan atau menghubungi talian hotline 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.
-- BERNAMA