MERBOK: Dua daerah iaitu Baling dan Kulim akan menjadi lokasi yang akan diberikan perhatian khusus atau 'hostspot' daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kedah sebagai persiapan menghadapi banjir akibat Monsun Timur Laut, pertengahan November depan.

Pengarah APM Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, dua kawasan berkenaan telah dikategorikan sebagai kawasan 'berisiko' berdasarkan 'trend' banjir pada musim Monsun Timur Laut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut beliau, berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), terdapat 373 titik panas lokasi banjir di Kedah.

Berdasarkan taklimat daripada Jabatan Mateorologi pula, katanya, negeri Jelapang Padi turut dijangka mengalami peningkatan jumlah taburan hujan berbanding kebiasaan menjelang penghujung November.

"Dua kawasan ini kita akan beri perhatian lebih  untuk tahun ini (berdasarkan) data  tiga tahun lepas 2019,2020 dan 2021, kita lihat 'trend' tersebut, (jadi) untuk tahun 2022 dan 2023 ini, kita (akan) fokus (kepada dua kawasan itu), kita beri (lebih)
perhatian sikit.

"(Saya tidak nafikan) memang kita (sudah) bersedia untuk (musim banjir di) negeri Kedah tetapi kita (akan) beri (lebih) perhatian kepada daerah Baling dengan daerah Kulim

"Ini kerana, seperti yang dikatakan tadi untuk Baling (sahaja) ada 53 hotspot (banjir) dan di Kulim ada 25 (hotspot)," kata Awang Askandar.

Beliau berkata demikian kepada wartawan ketika ditemui selepas meninjau simulasi persediaan banjir APM Kedah di Kompleks Jeti Sungai Merbok, di sini, pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, terdapat beberapa lagi daerah dikategorikan sebagai lokasi berisiko tinggi banjir iaitu Kuala Muda, Bandar Baharu, dan Sik yang terletak di Lembangan Sungai Muda.

Tidak ketinggalan, daerah Kota Setar dan Kubang Pasu juga, jelas beliau, akan diberikan perhatian memandangkan kedua-dua lokasi itu turut sering dilanda banjir.

APM Kedah selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri juga menjalinkan kerjasama dengan kesemua agensi berkaitan di peringkat negeri dan Pusat termasuk pertemuan dengan 32 badan-badan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi proses penyelarasan penglibatan kesemua mereka dalam situasi bencana.

Tambah beliau, pihaknya turut memperkasakan sukarelawan tempatan di kawasan yang sering dilanda banjir dengan latihan yang mencukupi di bawah Pasukan Tindakan Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT).