MALAYSIA

Monsun Timur Laut: JBPM rekod lebih 10,000 operasi pemantauan dan tindak balas

Bernama 14/01/2026 | 09:08 MYT
JBPM laksanakan secara purata 139 operasi pemantauan harian, melibatkan kawasan berisiko banjir, selain pemindahan mangsa dan operasi menyelamat. - Gambar fail/Bernama
KANGAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan 10,038 operasi pemantauan dan tindak balas di seluruh negara bagi tempoh 11 Nov tahun lepas hingga semalam susulan banjir musim Monsun Timur Laut 2025/2026.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman, berkata sepanjang tempoh itu, JBPM melaksanakan secara purata 139 operasi pemantauan setiap hari, melibatkan kawasan berisiko banjir, pemindahan mangsa, operasi menyelamat, pemindahan pesakit dan penyediaan bantuan logistik kepada orang awam dan anggota.

"Walaupun keadaan sekarang tidak begitu meruncing, kita tidak boleh berada dalam zon selesa. JBPM sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan, lebih-lebih lagi ketika negara masih dalam fasa Monsun Timur Laut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sumbangan Kebajikan Persatuan Kebajikan JBPM dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba dan Penyelamat Malaysia (PERISMA) Kebangsaan di Ibu Pejabat JBPM Perlis di sini hari ini.

Ahmad Izram berkata angka berkenaan mencerminkan tahap kesiapsiagaan JBPM 24 jam di seluruh negara, walaupun cuaca kini lebih terkawal di kebanyakan negeri.

"Kesiapsiagaan itu melibatkan kekuatan anggota, aset, prosedur operasi standard (SOP) serta logistik yang digerakkan bagi memastikan tindak balas pantas sekiranya berlaku sebarang kemungkinan bencana," katanya.

Sementara itu, Ahmad Izram berkata seramai 31 pegawai dan anggota bomba di Perlis yang terlibat dalam musibah banjir pada penghujung tahun lalu menerima sumbangan kebajikan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan warga bomba yang terkesan.

Dalam program sama, seorang balu kepada anggota bomba yang terkorban ketika menjalankan tugas turut menerima sumbangan sebanyak RM2,000 sebagai bantuan kehilangan saraan.

-- BERNAMA
#monsun timur laut #operasi menyelamat #JBPM #risiko banjir #pemindahan mangsa