Moratorium hingga dua tahun sebelum kuat kuasa pindaan Akta SIP - Perkeso

Perkeso memaklumkan moratorium itu bagi memastikan peralihan yang teratur dan tidak membebankan majikan, khususnya bagi membantu perusahaan kecil dan mikro menyesuaikan diri dengan keperluan itu. - Gambar fail/Perkeso
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memberi jaminan akan melaksanakan moratorium sehingga dua tahun sebelum menguatkuasakan pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) melibatkan kewajipan majikan memaklumkan kekosongan jawatan atau pewujudan jawatan baharu.
Ringkasan AI
- Perkeso berjanji untuk memberi moratorium sehingga dua tahun sebelum pindaan Akta SIP dilaksanakan, berkaitan dengan kewajipan majikan memaklumkan kekosongan jawatan.
- Moratorium diperlukan bagi membolehkan peralihan yang teratur tanpa memberatkan majikan, terutamanya perusahaan kecil dan mikro.
- Pindaan bertujuan meningkatkan akses maklumat pekerjaan kepada rakyat Malaysia, membantu majikan padankan pekerjaan dengan tenaga kerja yang sesuai, serta memastikan pasaran buruh negara menjadi lebih dinamik, responsif, dan mampan.
"Dalam tempoh ini, fokus adalah kepada pendidikan, libat urus dan pematuhan secara berfasa dan sukarela, bukan penalti. Proses memaklumkan kekosongan jawatan adalah mudah, ringkas dan sepenuhnya secara dalam talian melalui portal MYFutureJobs.
"Apabila jawatan diisi, maklumat itu boleh dikesan secara automatik melalui pendaftaran pekerja baharu dan caruman majikan melalui portal dalam talian Perkeso, sekali gus mengurangkan beban pentadbiran majikan," menurut kenyataan itu.
Sesi libat urus menyeluruh bersama kumpulan majikan, persatuan industri dan pengamal sumber manusia dijangka diadakan selepas sesi Dewan Negara, yang berakhir pada 18 Dis bagi menerangkan mekanisme pelaksanaan dan mendapatkan maklum balas industri.
Pertubuhan itu menjelaskan pindaan berkenaan bukan bertujuan menghukum tetapi menambah baik ekosistem pekerjaan negara dalam memberi akses maklumat peluang pekerjaan kepada seluruh rakyat Malaysia supaya pencari kerja dapat melihat peluang yang wujud secara telus dan teratur.
Pindaan itu turut diyakini dapat membantu majikan memadankan pekerjaan dengan tenaga kerja yang sesuai, sekali gus meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos pengambilan.
"Seterusnya ia akan memberi gambaran pasaran buruh negara yang tepat, semasa dan teratur bagi membolehkan kerajaan merangka dasar pekerjaan dan latihan kemahiran berdasarkan data sebenar.
"Kesemua matlamat ini adalah asas untuk memastikan pasaran buruh negara menjadi lebih dinamik, responsif dan mampan. Perkeso kekal komited memastikan pelaksanaan pindaan ini adil, seimbang dan menyokong perkembangan ekonomi serta pasaran kerja negara," menurut kenyataan itu.
Selasa lepas, Dewan Rakyat meluluskan RUU SIP (Pindaan) 2025 yang antara lain bertujuan meningkatkan faedah kepada pencarum Perkeso kehilangan pekerjaan serta memperkukuh tadbir urus pelaksanaan insuran pekerja.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


