MOSAR bakal ditubuhkan di Semenanjung Malaysia

Ruzaini Zulkepli
Mac 19, 2018 06:47 MYT
Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim semasa Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Negeri Sabah Tahun 2017. - Astro AWANI/Ruzaini Zulkepli
Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Di Gunung (MOSAR) yang pertama kali ditubuhkan di Sabah pada tahun 2015 bakal ditubuhkan di Semenanjung Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, penubuhan MOSAR akan dilaksanakan selepas menjalankan kajian bagi mengenalpasti keperluan penubuhan pasukan berkenaan.
Menurut beliau, penubuhan pasukan itu penting bagi menjamin keselamatan para pendaki berikutan penubuhan pasukan MOSAR di Sabah telah menjunjukkan prestasi yang cemerlang ketika menjalankan operasi menyelamat melibatkan pendaki Gunung Kinabalu.
"Setakat ini hanya Sabah yang mempunyai MOSAR dan kita juga sedang membuat kajian di tempat lain termasuk di Semenanjung Malaysia untuk menubuhkan pasukan ini."
"Kajian sebelum menubuhkan pasukan MOSAR perlu dilakukan kerana di semenanjung lokasi membuat pendakian tidak berada di satu-satu tempat seperti Gunung Kinabalu tetapi ia terletak berselerak,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Negeri Sabah Tahun 2017 di Hotel Tabung Haji di sini, hari ini.
Dalam majlis berkenaan seramai 68 kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2017, 56 kakitangan menerima Sijil Perkhidmatan Terpuji, 16 kakitangan menerima Pingat Cemerlang Bomba, tiga orang kakitangan menerima Pingat Setia Bomba dan seorang kakitangan menerima Pingat Jasa Bomba.
Dalam pada itu Wan Mohd, juga menyeru orang ramai agar memberikan kerjasama kepada pihak bomba sekiranya berlaku kecemasan terutama sekali ketika berada di jalan raya kerana masih terdapat pengguna jalan raya yang tidak mengendahkan bunyi siren bomba.
"Kerjasama orang ramai ini penting bagi mempercepatkan 'response time' pihak bomba apabila mendapat panggilan kecemasan," katanya lagi.
#Gunung Kinabalu #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #MOSAR #pendaki #Sabah #Semenanjung Malaysia #Wan Mohd Nor Ibrahim