KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memperluaskan program ‘Ruang Reka Komuniti’ bagi memberikan sokongan dan bimbingan kepada bakat-bakat muda tempatan bagi menghasilkan inovasi, bermula daripada peringkat awal.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, inisiatif berkenaan juga akan diperluaskan ke setiap daerah, yang ketika ini hanya di Kuala Terengganu, Terengganu dan Paroi, Negeri Sembilan.

Tambahnya lagi, MOSTI turut akan membantu bakat-bakat muda di kawasan luar bandar bagi mengetengahkan ciptaan produk sains dan teknologi menerusi pengalaman mereka.

"Ruang Reka Komuniti ini bukan sahaja memberi ruang kepada anak muda untuk memahami lebih mendalam mengenai sains tetapi juga memperjelaskan bentuk pembangunan kerjaya yang boleh diceburi selepas terlibat dengan inovasi," katanya dalam sidang media secara maya bersama bakat-bakat Agensi Inovasi Muda di Angkasa Malaysia (MYSA), pada Isnin.

Dalam isu berasingan, Dr Adham berkata pihaknya mengambil maklum persoalan mengenai kesahihan penganjur International Invention Innovation Competition (iCAN) 2021 yang disertai oleh pelajar Malaysia, Maryam Muzamir, 11, dimana hasil inovasinya berjaya merangkul tiga pingat emas.

Untuk itu pihaknya telah meminta Yayasan Inovasi Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Untuk itu, saya berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi sehingga maklumat sahih diperolehi. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus memberi semangat kepada beliau (Siti Maryam) sebagai bakat muda inovasi dan jangan lemahkan semangatnya.

"Ini kerana seperti kata Maryam tadi, beliau akan memperbaiki inovasi dari semasa ke semasa sehingga sampai di tahap dimana boleh mencapai tahap pengeluaran untuk produk dikomersialkan," katanya. 

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa MOSTI tidak menghalang individu untuk menyertai mana-mana pertandingan, kerana setiap individu itu berhak mengetengahkan inovasi dan bakat mereka kepada pengetahuan umum.