Skip to main content

Malaysia

MOSTI lancar Malaysia Foresight Network

51750925363_mosti.jpg
Malaysia Foresight Network menghimpunkan pegawai penyelaras foresight daripada kementerian, agensi kerajaan, institusi penyelidikan, institusi pengajian tinggi, industri serta ekosistem inovasi.
Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan Malaysia Foresight Network (MFN) sebagai mekanisme penyelarasan nasional dan komuniti amalan yang menghimpunkan pegawai penyelaras foresight daripada kementerian, agensi kerajaan, institusi penyelidikan, institusi pengajian tinggi, industri serta ekosistem inovasi.

MOSTI dalam kenyataan semalam memaklumkan penubuhan MFN adalah antara langkah untuk memperkukuh pembangunan dan aplikasi foresight Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030, khususnya di bawah Teras 1: Tadbir Urus STI yang Responsif.

Menurut kenyataan itu, MFN dilancarkan bersempena dengan “Malaysia Foresight Leadership Forum 2026: Anticipating Talent, Technology and National Capability Towards 2040” dan Sesi Town Hall Penjajaran Dasar Bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang diadakan selama tiga hari bermula Isnin lepas.

Program anjuran Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) dengan kerjasama strategik Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) itu menghimpunkan pembuat dasar, wakil kementerian dan agensi kerajaan, pemain industri, ahli akademik, institusi penyelidikan serta pengamal foresight bagi memperkukuh penggunaan pendekatan berpandangan jauh dalam proses penggubalan dasar negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan STI) MOSTI Datuk Ruziah Shafei berkata perubahan teknologi, ketidaktentuan geopolitik, perubahan iklim, perubahan demografi dan kerancakan ekonomi digital menuntut kerajaan memperkukuh pendekatan perancangan yang lebih berpandangan jauh. 

“Dalam persekitaran global yang semakin dinamik, kompleks dan sukar dijangka, pendekatan perancangan yang hanya berpandukan pengalaman lepas atau keperluan semasa tidak lagi mencukupi. 

Foresight bukan bertujuan meramal satu masa hadapan yang tetap, sebaliknya adalah pendekatan berdisiplin untuk meneroka pelbagai kemungkinan, menguji andaian serta membentuk dasar yang lebih bersedia, anjal dan berdaya tahan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement