SEREMBAN: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited mampu mencipta sekurang-kurangnya 5,000 peluang pekerjaan menjelang tahun hadapan menerusi pelbagai program dan inisiatif di bawah kementerian itu.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia selari dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan pelaksanaan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional.

Pelan tersebut bagi memperkasa tenaga kerja Malaysia supaya lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan tersohor di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, sejak awal Januari lalu, seramai 4,145 individu berjaya mendapatkan pekerjaan dalam bidang 'deeptech' (deep technology), dan pihaknya yakin mampu mencapai sasaran sehingga 4,700 individu menjelang hujung tahun ini.

"Kita ada rangka kerja yang kita bangunkan. Dalam MOSTI ada agensi yang bertanggungjawab membangunkan sesuatu industri itu, atau pun di peringkat commercialisation.

"Menggunakan dana dalaman MOSTI, sehingga 31 Ogos lepas, kita telah lahirkan 4,145 individu dalam bidang deeptech dan berkaitan, yang telah berjaya mendapat pekerjaan melalui inisiatif MOSTI.

"Sasaran kita ialah 4,700 sehingga Disember 2021. Untuk tahun depan, kita menyasarkan lebih kurang 5,000 orang," katanya pada sidang media selepas melawat Program Ruang Reka di Taman Rasa Sayang, Paroi, di sini.

Mengulas lanjut, Adham berkata, MOSTI sebagai ahli tetap Majlis Pekerjaan Negara (NEC) memberi tumpuan kepada kluster 'deeptech and future skills' yang memainkan peranan penting untuk memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden serta mempercepat penerapan teknologi seperti ‘artificial intelligence’ (AI), automasi dan dron.

Katanya, pandemik COVID-19 juga membuka ruang yang lebih luas kepada transformasi ekonomi digital dan teknologi teras dalam negara, sekali gus memberi manfaat kepada tenaga kerja yang terkesan, untuk menjalani kursus skilling, upskilling dan reskilling.

Sementara itu, mengulas mengenai Program Ruang Reka, ia bertujuan menggalakkan lebih ramai kalangan B40 dan M40, terutamanya yang terkesan akibat pendemik COVID-19, menceburi bidang keusahawanan berlandaskan sains, teknologi dan inovasi (STI).

Katanya, MOSTI komited menyediakan platform inovasi sosial akar umbi yang dapat memacu etno-teknologi masyarakat tempatan yang beropotensi dikomersialkan untuk menjana kekayaan baru dan pembangunan sosio-ekonomi yang lebih terangkum.

Ujarnya, setakat ini dua projek rintis ruang reka iaitu Ruang Reka di Taman Rasa Sayang, Paroi dan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran di Kuala Terengganu telah dibangunkan.