MOSTI tawar 46 penyelesaian teknologi tangani sekuriti makanan

Fareez Azman
Jun 28, 2022 07:11 MYT
MOSTI memaklumkan daripada jumlah itu sebanyak 27 kaedah sedia diguna pakai secara meluas bagi penyelesaian jangka masa pendek. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menawarkan 46 penyelesaian teknologi bagi membantu negara menangani isu sekuriti makanan.
MOSTI memaklumkan daripada jumlah itu sebanyak 27 kaedah sedia diguna pakai secara meluas bagi penyelesaian jangka masa pendek.
"Penyelesaian teknologi yang dikenal pasti terbahagi kepada beberapa kluster iaitu biji benih, biobaja dan baja penggalak, penggunaan dron dan robotik, perkhidmatan ujian dan aplikasi internet kebendaan (IoT), akuakultur serta makanan ternakan," jelas kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa itu.
Antara penyelesaian teknologi yang diketengahkan pula adalah penggunaan automasi sistem fertigasi, pertanian menegak, akuaponik yang digandingkan bersama aplikasi kecerdasan buatan (AI).
Jelas MOSTI lagi, ia juga mampu beroperasi di kawasan terpencil dan mengurangkan kos operasi melalui penggunaan Panel Tenaga Suria Nano (NLEP) tenaga solar sebagai sumber tenaga utama.
"Penggunaan teknologi ini boleh diguna pakai bagi pelbagai jenis tanaman hijau berdasarkan kesesuaian kawasan dan keperluan pasaran.
"Sementara itu, teknologi IoT dan blockchain akan turut digembleng bersama lain-lain penyelesaian teknologi bagi merancakkan industri agro.
"Penggunaan biobaja pintar, teknologi penjerap nutrien dan teknologi pemuliharaan tanah juga boleh meningkatkan produktiviti tanaman," jelas kenyataan itu lagi.
Teknologi berkenaan berupaya mengatasi isu kenaikan harga baja berikutan bekalan bahan terhad susulan krisis dunia ketika ini.
Malah produk dan teknologi yang digunakan itu dapat mempertingkatkan kawasan penanaman yang subur bagi tempoh singkat dalam skala besar.
"Menerusi Agensi Nuklear Malaysia, kajian dan data di lapangan juga telah memperlihatkan keupayaan biobaja yang berpotensi menjimatkan kos baja sehingga 50 peratus dan meningkatkan hasil sehingga 8 peratus.
"Ini akan mengurangkan kebergantungan kepada baja, dan subsidi baja juga dapat dikurangkan secara berperingkat," kata MOSTI lagi.
Jelas MOSTI, beberapa model pelaksanaan juga telah dikenal pasti termasuk perubahan besar ke atas penambahbaikan mekanisma sistem penyampaian dalam memperkukuhkan teknologi industri agro di negara ini.
Malah menerusi teknologi penyelesaian itu mampu memberi impak berkesan dalam memastikan sekuriti bekalan makanan terjamin dengan kos berpatutan serta pengurangan kebergantungan penuh kepada buruh asing.
"Kesemua penyelesaian teknologi ini merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan yang dibiayai oleh kerajaan.
"Ini membuktikan bahawa negara mempunyai kepakaran dan kemampuan yang tinggi dalam sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) dan peluang ini digunakan sebaiknya dalam menangani isu bekalan makanan," kata MOSTI.
Penyelesaian berlandaskan teknologi itu merupakan sokongan MOSTI dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Malah perbincangan secara berterusan akan dijalankan di antara dua kementerian dalam menangani isu krisis makanan.
"Produk serta teknologi yang telah dikenal pasti oleh MOSTI ini akan dibincangkan secara berterusan
dan dengan lebih terperinci bersama MAFI bagi memastikan teknologi yang diperkenalkan sesuai dilaksanakan berdasarkan lokaliti dan keperluan sesuatu sektor.
"Iltizam MOSTI adalah untuk membantu Keluarga Malaysia menerusi kepakaran melibatkan penyelesaian teknologi sejajar dengan tema yang diangkat MOSTI iaitu ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi’," jelas MOSTI lagi.
#MOSTI #krisis makanan #kecerdasan buatan #tanaman