MOSTI teliti 'Small Modular Reactor' untuk tenaga nuklear negara

Chang Lih Kang berkata sebarang keputusan dasar berkaitan tenaga nuklear negara hanya akan dimuktamadkan selepas tahun 2030. -Gambar Astro AWANI/Luqman Abdul Aziz
BANGI: Malaysia masih dalam fasa awal meneroka kemungkinan penggunaan reaktor nuklear sebagai sumber penjanaan tenaga elektrik masa hadapan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata sebarang keputusan dasar hanya akan dimuktamadkan selepas tahun 2030 bagi mengambil kira kajian berkaitan perundangan, teknologi, penerimaan awam, keselamatan dan alam sekitar.
"Pada ketika ini, kita sedang teliti small modular reactor (SMR) yang dilihat lebih selamat dan moden berbanding reaktor konvensional.
"Cuma sekarang ini masih terlalu awal untuk beri pandangan. Kita ada jawatankuasa bersama mengenai tenaga nuklear diketuai Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), turut disertai MOSTI yang berperanan sebagai penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan bakat serta kawal selia.
"Sebarang perkembangan dalam bidang ini harus mematuhi piawaian Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), inspektor mereka juga akan dihantar ke negara kita untuk membuat pemeriksaan," kata Kang ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Media Showcase Agensi Nuklear Malaysia, di sini pada Rabu.
Untuk rekod, Small Modular Reactor (SMR) merupakan reaktor nuklear bersaiz kecil dan fleksibel dengan kapasiti sekitar 10 hingga 300 megawatt elektrik, komponennya dibina di kilang dan kemudian dihantar ke tapak untuk pemasangan.
Ia sesuai untuk kawasan terpencil atau grid elektrik bersaiz kecil, sekali gus mengurangkan risiko 'meltdown' kerana penggunaan bahan api yang rendah.
Bagaimanapun Kang mengakui wujud stigma negatif susulan pencemaran radioaktif di Jepun menyebabkan masyarakat tempatan berasa gerun dengan potensi tenaga nuklear.
"Di Malaysia kita ada kepakaran mencukupi dan kita sendiri sudah mengoperasikan reaktor nuklear Triga Puspati bagi tujuan penyelidikan sejak tahun 1982.
"Orang ramai tidak perlu gusar dan MOSTI baru-baru ini sudah membuat pindaan ke atas Akta Tenaga Atom 1984 (Akta 304) bagi memasukkan persediaan penerokaan penjanaan kuasa nuklear.
"Setiap insiden berkaitan nuklear ada pengajaran kita boleh ambil supaya tidak berulang lagi. Seperti saya katakan tadi, semuanya masih terlalu awal bagi pembangunan tenaga nuklear negara kita," ujarnya.
Tambah Kang, tenaga nuklear merupakan alternatif mampan untuk masa hadapan negara dan ia wajar dipertimbang secara serius.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


