Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menubuhkan pasukan petugas dalaman ditubuhkan untuk memudahcara penggunaan teknologi Blockchain dan lejar teragih di negara ini.

Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI Prof. Madya. Dr. Ramzah Dambul berkata, ia usaha membangunkan platform yang sesuai sebelum penubuhan jawatankuasa yang bersesuaian di peringkat kebangsaan kelak.

Jelasnya, MOSTI sedang membangunkan Memorandum Jemaah Menteri bagi memaklumkan kepada Kabinet mengenai kesan yang akan dibawa teknologi itu sendiri.

"Penetapan dasar Kerajaan dan hala tuju penggunaan teknologi adalah penting memandangkan ia akan melibatkan pelbagai sektor penting seperti perbankan, penguatkuasaan dan perdagangan merentas sempadan.

"Dengan perkembangan Fourth Industrial Revolution juga, perkembangan teknologi Blockchain dan distributes ledgers ini adalah bersesuaian dan tepat pada masanya bagi menyokong keperluan-keperluan pengurusan dan perlindungan maklumat digital.

"Ini adalah untuk menjamin urusniaga dan transaksi digital yang pantas, selamat dan jitu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membaca teks ucapan Menteri MOSTI, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau ketika merasmikan Forum Teknologi Blockchain dan lejar teragin di Taman Teknologi Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mimos Ahmad Rizan Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia Datuk Fadilah Baharin.

Teknologi baru itu boleh digunakan dalam transaksi atas talian yang pelbagai terutamanya sektor kewangan.

Kata Dr. Ramzah, MOSTI sedang mengikuti perkembangan itu secara dekat dan teliti.

"Pembangunan standard antarabangsa amat kritikal kini bukan dalam memastikan interaksi dan transaksi dapat berlaku secara lancar malah dapat melindungi kepentingan pengguna memandangkan terdapat cabaran pihak yang berautoriti dalam mengawal selia bidang ini," jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Rizan menjelaskan, pihaknya sedang giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (RND) dalam teknologi kewangan selain pelbagai teknologi berkaitan dalam teknologi berkenaan.

"Mimos juga sedang membangunkan teknologi Blockchain untuk menyokong sektor kewangan, selaras dengan kemaraan Revolusi Perindustrian Keempat.

"Kita mempunyai pasukan penyelidik, saintis dan jurutera yang memiliki kepakaan luas dal memegang sejumlah paten dalam bidang penting ICT.

"Selain itu, Mimos menyediakan khidmat perundingan dan latihan dalam teknologi Blockchain kepada pelbagai agensi kerajaan dan mengambil bahagian dalam aktiviti piawaian antarabangsa," ujarnya.

Forum itu diadakan sempena Ekspo sains, teknologi dan inovasi terbesar, Ekspo Inovasi dan Ekonomi Kreatif Kebangsaan (NICE) 2017.

Ia bermula pada Khamis lepas sehingga Isnin dan disasar dapat menarik sebanyak 500,000 pengunjung.