Skip to main content

Malaysia

MOT lulus 8 syarikat baharu pemeriksaan tukar hak milik

Sumber: Shahir Omar
Anthony Loke menghadiri Pelancaran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM)  Pemeriksaan Tukar Hak Milik Persendirian (M.V.15) di Kajang pada Selasa. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

KAJANG: Lapan cawangan baharu bagi melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) bagi  Pemeriksaan Tukar Hak Milik Persendirian (M.V.15) oleh Carro Teknology Sdn. Bhd. akan mula beroperasi secara setentak bermula 16 Jun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pembukaan secara serentak itu merupakan sebahagian reformasi sistem pemeriksaan kenderaan selepas tamatnya konsesi monopoli  pada tahun 2024.

Beliau berkata, pusat pemeriksaan mini kendalian Karo Teknologi Sdn Bhd itu akan mula beroperasi di Glenmarie, Wangsa Melawati, Kajang, Klang, Bayan Lepas, Melaka, Muar dan Johor Bahru.

Menurutnya, kerajaan sebelum ini memutuskan untuk membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan kepada syarikat swasta lain yang memenuhi syarat ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Selepas tamatnya konsesi 30 tahun oleh Puspakom, kerajaan membuat keputusan membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan ini kepada syarikat-syarikat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Pelancaran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM)  Pemeriksaan Tukar Hak Milik Persendirian (M.V.15) di Kajang pada Selasa.

Beliau berkata, sebelum ini semua pemeriksaan kenderaan termasuk bagi urusan pertukaran hak milik hanya boleh dilakukan di pusat pemeriksaan Puspakom.

Katanya, keadaan itu menyebabkan banyak aduan diterima daripada pengguna berhubung kesesakan dan kelewatan proses pemeriksaan kerana tiada pilihan lain.

“Kadang-kadang lambat, pengguna tidak ada pilihan, mesti pergi satu tempat sahaja,” katanya.

Beliau berkata, pusat pemeriksaan mini baharu itu hanya melibatkan pemeriksaan asas kenderaan persendirian seperti nombor casis, nombor enjin, status kereta potong dan cermin gelap.

Menurutnya, konsep pusat pemeriksaan tersebut lebih kecil dan mudah diakses kerana boleh dibuka di kawasan komuniti serta pusat perniagaan biasa.

“Kita mahu perkhidmatan ini sampai ke peringkat komuniti. Tak mahu semuanya tertumpu di pusat besar,” katanya.

Jelasnya,pengguna hanya perlu membuat tempahan secara dalam talian sebelum hadir ke pusat pemeriksaan dan proses dijangka mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit sahaja.

Beliau turut menegaskan caj pemeriksaan kekal sama seperti di Puspakom iaitu sekitar RM37.80 termasuk SST kerana kadar berkenaan masih dikawal JPJ.

Katanya, semua syarikat yang diberikan lesen akan diaudit secara berkala dan lesen boleh ditarik balik sekiranya gagal mematuhi piawaian keselamatan serta integriti yang ditetapkan JPJ.

Must Watch Video

Advertisement