PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MoT) akan mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Kewangan (MoF) berhubung aduan pemain industri mengenai ketidakpastian cukai terhadap kargo minyak yang dicampur dalam tangki darat di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor.
Menterinya, Anthony Loke berkata kementerian itu tidak mempunyai maklumat mengenai mekanisme penetapan cukai berkenaan seperti yang dilaporkan media, semalam.
"Perkara ini di bawah Kastam dan MoF. Kami akan mendapatkan maklumat lanjut daripada MoF," katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan MoT, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan aduan pemain industri bahawa ketidakpastian berhubung perkara itu menjejaskan perniagaan perkapalan dan petroleum di pelabuhan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy dilaporkan menggesa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjelaskan sama ada amalan berkenaan dibenarkan serta kaedah cukai perlu dikenakan.
Beliau berkata penjelasan itu penting kerana Pelabuhan Tanjung Langsat mengendalikan kargo petroleum yang dipunggah dari kapal ke tangki darat ketika operasi pemindahan atau 'transhipment'.
Sebelum ini, timbul kebimbangan mengenai dakwaan minyak daripada konsainan berbeza dicampurkan dalam tangki darat selepas dipunggah dari kapal.
Tindakan berkenaan didakwa boleh mengubah keadaan kargo serta menimbulkan isu berkaitan klasifikasi, penilaian dan cukai sekiranya dokumen tidak dikemas kini dengan sewajarnya.