MELAKA: Kementerian Pengangkutan (MoT) akan menyokong sebarang usaha dilakukan kerajaan negeri Melaka untuk menarik pelaburan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, di sini.

Menterinya Anthony Loke berkata beliau sebelum ini mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang cuba menarik pelaburan daripada sebuah syarikat penerbangan untuk beroperasi di LTAM.

"Di peringkat kerajaan Persekutuan, kita terbuka untuk melihat bagaimana menyokong pelaburan ini di Melaka.

"Apabila pelabur ini, jika mereka benar-benar mahu melabur di Melaka, maka saya akan cuba membantu untuk urusan dengan MAHB (Malaysia Airport Holdings Berhad)," katanya selepas Majlis Pelancaran Bot 'Hydroglyder' yang menggunakan teknologi elektrik di Batu Berendam di sini hari ini.

Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Anthony bagaimanapun tidak memperincikan mengenai bentuk pelaburan yang sedang dibincangkan antara kerajaan negeri Melaka dengan syarikat tersebut.

Akhbar sebelum ini melaporkan LTAM menghentikan operasi pesawat komersial dengan penerbangan terakhir ke Pulau Pinang pada Jun lepas, manakala dari Pekan Baru, Indonesia pada 16 Ogos.

Ia berikutan ketiadaan perjanjian rasmi dengan kerajaan negeri menjadi antara punca syarikat penerbangan komersial bertindak sesuka hati menamatkan perkhidmatan mereka di lapangan terbang itu.

-- BERNAMA