MALAYSIA

MOT tambah 10,000 kuota MyLesen B2 tahun ini

Bernama 10/07/2025 | 10:22 MYT
Loke ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu sempena Program MyLesen (B2) peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan hari ini. --fotoBERNAMA
SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menambah 10,000 kuota baharu untuk Program MyLesen B2 dengan peruntukan RM3.5 juta bagi tahun ini.


Ringkasan AI
  • Kementerian Pengangkutan menambah 10,000 kuota baharu untuk Program MyLesen B2 dengan peruntukan RM3.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan 25,000 peserta tahun ini.
  • Program ini membantu golongan B40 mendapatkan lesen motosikal secara sah dan percuma, serta meningkatkan peluang pekerjaan dan keselamatan jalan raya.
  • Sekolah diminta mengenal pasti pelajar tanpa lesen untuk disalurkan ke program ini, dan penerima lesen digalakkan menjadi duta keselamatan jalan raya.


Menterinya Anthony Loke berkata sebanyak 14,581 peserta atau 97 peratus daripada kuota asal sebanyak 15,000 telah dimanfaatkan oleh golongan muda dalam enam bulan pertama tahun ini.

"Kita tambah 10,000 lagi kuota bermula pertengahan tahun ini melibatkan seluruh negara. Kos setiap lesen adalah RM350 seorang, ditampung sepenuhnya oleh kementerian," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu MyLesen B2 peringkat Negeri Sembilan yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli dan Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf..

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata program tersebut adalah komitmen kerajaan membantu golongan B40 bagi mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan, terutamanya ekonomi gig serta usaha melahirkan pemandu yang kompeten dan selamat.

Menurutnya inisiatif itu juga membantu golongan sasar mendapatkan lesen memandu motosikal Kelas B2 secara sah, mudah diakses dan berpatutan.

Dalam masa sama, beliau turut meminta pihak sekolah membantu mengenal pasti pelajar yang menunggang motosikal tanpa lesen supaya dapat disalurkan kepada program berkenaan dan institut memandu memainkan peranan penting dalam memastikan peserta dilatih dengan sebaik mungkin.

Beliau turut berharap belia yang menerima lesen menerusi program itu dapat menjadi duta keselamatan jalan raya, menyampaikan mesej pematuhan undang-undang serta menjadi penunggang yang berhemah dan bertanggungjawab.

-- BERNAMA



#Kementerian Pengangkutan #Anthony Loke #MyLesen B2 #motosikal #JPJ