Ikuti perkembangan Banjir Aceh dan Sumatera di sini
MALAYSIA

MOT tegaskan pelantikan ejen pemungut tidak jejas sistem MyJPJ

Bernama 10/12/2025 | 05:00 MYT
Hasbi berkata syarikat berkenaan hanya berperanan sebagai pemungut dilantik bagi pihak kerajaan, sama seperti agensi-agensi lain yang diberi kuasa mengutip bayaran tertentu. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pelantikan syarikat sebagai ejen pemungut bagi beberapa urusan pengangkutan tidak akan menjejaskan atau mengambil alih sistem MyJPJ, demikian persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.


Ringkasan AI
  • Syarikat ejen pemungut untuk urusan pengangkutan tidak mempengaruhi sistem MyJPJ, menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.
  • JPJ terus melakukan digitalisasi melalui aplikasi MyJPJ untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kesilapan manual.
  • Penggunaan teknologi moden seperti alat perakam badan (BWC) dan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) diteruskan untuk meningkatkan integriti penguatkuasaan pengangkutan.


Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata syarikat berkenaan hanya berperanan sebagai pemungut dilantik bagi pihak kerajaan, sama seperti agensi-agensi lain yang diberi kuasa mengutip bayaran tertentu.

"Mereka adalah pemungut sahaja. Mereka tiada kaitan dengan MyJPJ... tidak akan sentuh, tidak akan diusir ataupun MyJPJ diambil alih oleh Rider Gate ini," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ng Keng Heng semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melaksanakan pelbagai proses pendigitalan melalui aplikasi MyJPJ termasuk notifikasi tamat tempoh lesen, urusan pembaharuan serta pembayaran sama, sekali gus meningkatkan ketelusan dan mengurangkan risiko kesilapan manual.

Mengenai soalan asal oleh Senator Datuk Salehuddin Saidin berhubung pendekatan penggunaan teknologi moden dalam menguatkuasakan undang-undang pengangkutan, Hasbi berkata penggunaan alat perakam badan (BWC) adalah bagi meningkatkan integriti dan ketelusan penguatkuasaan.

Beliau berkata JPJ juga akan meneruskan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) selain cadangan penggunaan High-Speed Weigh-in-Motion (HSWIM) untuk mengesan kesalahan lebih muatan.

Pada masa sama, Hasbi berkata kementerian turut merancang pembangunan pangkalan data pemandu kenderaan berat bagi memastikan hanya mereka yang memenuhi syarat keselamatan dilantik oleh syarikat pengendali.

Menjawab kebimbangan berhubung kos perolehan teknologi moden seperti BWC yang mencecah kira-kira RM23,000 seunit, Hasbi berkata harga pasaran bagi peralatan keselamatan dijangka menurun apabila penggunaannya semakin meluas.

-- BERNAMA










#Kementerian Pengangkutan #ejen pemungut #MyJPJ #Hasbi Habibollah #Dewan Negara #terkini