Skip to main content

Malaysia

MOT tumpu bangunkan ekosistem, rantaian bekalan industri rel tempatan - Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke bercakap pada sidang media selepas menyaksikan 17 sesi pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) melibatkan beberapa syarikat sempena Transport Expo Asia (TXA) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pengangkutan Anthony Loke bercakap pada sidang media selepas menyaksikan 17 sesi pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) melibatkan beberapa syarikat sempena Transport Expo Asia (TXA) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - Foto BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kementerian Pengangkutan memperuntukkan perbelanjaan besar untuk membangunkan industri rel tempatan, termasuk ekosistem dan rantaian bekalan sektor tersebut.
  • Projek utama seperti ECRL, Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, dan Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 melibatkan pelaburan melebihi RM65 bilion.
  • Anthony Loke berharap pelaburan ini memberi impak positif kepada syarikat tempatan dan menggalakkan kerjasama antara industri serta institusi pendidikan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MoT) memperuntukkan perbelanjaan besar dalam membangunkan industri rel tempatan dengan bukan hanya menumpukan kepada penggunaan perkhidmatan malah membangunkan ekosistem dan rantaian bekalan sektor itu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pendekatan dibuat selepas mengambil kira potensi rantaian bekalan melibatkan industri rel yang mampu menjana pertumbuhan besar kepada ekonomi negara.

“Setiap tahun peruntukan pembangunan MoT itu kebanyakannya digunakan untuk sektor rel, terutamanya dalam membina landasan, seterusnya kita perlu membeli rolling stock, kereta api, walaupun kebanyakan pembelian ini melibatkan syarikat luar, kita nak mereka (syarikat) buat pemasangan dalam negara.

“Ketika ini kita banyak bekerjasama dengan pihak CRRC (China Railway Rolling Stock Corp) dari China yang berpangkalan di Batu Gajah, Perak. Bila mereka buat pemasangan di dalam negara, mereka boleh dapatkan bekalan komponen daripada pembekal atau pemain industri tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Dokumen Perjanjian melibatkan agensi kerajaan, industri tempatan, institusi pendidikan dan rakan strategik antarabangsa bersempena Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026, di sini hari ini.

Loke berkata antara peruntukan besar MoT dalam membangunkan industri rel negara adalah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menelan kos lebih RM50 bilion, Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru bernilai kira-kira RM10 bilion serta projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 yang melibatkan perbelanjaan lebih RM5 bilion.

Beliau berkata kementerian berharap segala pelaburan dilakukan kerajaan dalam membangunkan industri rel negara akan memberi impak positif kepada pemain industri tempatan.

“Semoga memberikan manfaat, keuntungan dan pemangkin kepada syarikat tempatan seperti Railtech (M Rail Technics Sdn Bhd) yang membuat perkhidmatan penyelenggaraan, supaya kita satu hari nanti dapat membina satu  landskap lengkap dalam industri rel negara,” katanya.

Beliau pada masa sama berharap lebih ramai pemain industri bekerjasama dengan sektor akademik seperti universiti tempatan bagi menjalankan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan hasil kajian.

Mengenai majlis itu, Loke berkata 17 MoU yang dimeterai menunjukkan penganjuran TXA mampu menjadi platform kepada pemain industri untuk menjalin kerjasama strategik.

“Ini sudah tentu sesuatu yang kita harap dapat memacu pertumbuhan sektor pengangkutan dengan lebih banyak kerjasama strategik.

“Yang pertamanya untuk meningkatkan mutu sektor pengangkutan negara kita, dan yang keduanya untuk mempertingkatkan penggunaan teknologi dalam sektor pengangkutan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement