ISTIADAT PERNIKAHAN DIRAJA | Raja Muda Selangor bakal melangsungkan pernikahan pada 2 Oktober ini
MALAYSIA

MOTAC saran pemandu pelancong kuasai tiga bahasa asing

Bernama 22/09/2025 | 13:22 MYT
Penguasaan bahasa asing amat penting untuk membantu pelancong memahami dengan lebih mendalam mengenai destinasi lawatan. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyarankan setiap pemandu pelancong menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa asing bagi memudahkan urusan serta meningkatkan mutu layanan kepada pelancong luar negara.

Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata penguasaan bahasa asing amat penting untuk membantu pelancong memahami dengan lebih mendalam mengenai destinasi lawatan khususnya lokasi bersejarah di negara ini.

"Sebelum ini saya pernah mendapat rungutan daripada pelancong luar yang mengatakan bahawa mereka kecewa dengan pemandu pelancong kita kerana tidak memberi penerangan secara jelas dan mendalam.

"Ada juga pelancong kurang faham dengan pengunaan bahasa Inggeris digunakan oleh pemandu pelancong, jadi penguasaan bahasa asing lain itu dilihat akan dapat membantu," katanya kepada pemberita selepas Program Libat Urus MOTAC bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Sembilan di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan Nicole Tan.

Dalam pada itu, beliau meminta semua syarikat agensi pelancongan menyediakan produk dan destinasi baharu yang lebih menarik sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Mereka perlu membuat pakej dan produk baru yang lebih menarik dan kreatif untuk menarik pelancong," katanya sambil menambah setakat Jun ini, MOTAC merekodkan sebanyak 9,386 pemandu pelancong berdaftar di seluruh negara.

-- BERNAMA

#pemandu pelancong #penguasaan bahasa #MOTAC #bahasa asing #Tiong King Sing #pelancong