Belasungkawa Allahyarham Bung Moktar Radin | Ikuti Perkembangan Terkini Perjalanan Terakhir di sini
MALAYSIA

MOTAC saran pengusaha hotel, resort daftar elak tindakan

Bernama 05/12/2025 | 01:50 MYT
Mazshidal berkata, MOTAC akan jalankan aktiviti penguatkuasaan mulai tahun depan dan mengambil tindakan ke atas resort atau hotel yang tidak mendaftar, bagi memastikan kualiti perkhidmatan hotel pada tahap terbaik.
KUALA TERENGGANU: Semua pengusaha penginapan pelancong di Terengganu dinasihatkan mendaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi mengelak dikenakan tindakan.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Terengganu Mazshidal Roslal berkata setakat ini 181 hotel dan resort di negeri ini telah mendaftar, hasil pelbagai program kesedaran dan advokasi yang dijalankan oleh pihaknya secara berterusan.

Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat segelintir pengusaha terutama hotel bajet yang masih berdegil dan mereka ini boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Industri Pelancongan 1992.

"Kita dah bagi tempoh dua tahun untuk semua hotel berdaftar dengan MOTAC. Malah pada 2025 kita telah adakan kira-kira 20 sesi advokasi dengan pemain industri pelancongan bagi memberi penerangan.

"Jadi tahun depan MOTAC akan jalankan aktiviti penguatkuasaan. Mana-mana resort atau hotel yang tidak mendaftar boleh dikenakan tindakan mengikut akta berkaitan. Ia bagi memastikan kualiti perkhidmatan hotel pada tahap terbaik," katanya pada Majlis Minum Petang Bersama Media di sini.

Dalam pada itu, Mazshidal berkata pihaknya juga telah menubuhkan Skuad Ihsan MADANI MOTAC bagi membantu kerja-kerja pembersihan pascabanjir.

Beliau berkata fokus utama skuad itu ialah di lokasi yang menjadi tarikan orang ramai termasuk pantai, kawasan perkelahan dan premis penginapan pelancong.

"Khidmat Skuad Ihsan MADANI MOTAC lebih kepada kerja sukarelawan seperti membersih lokasi pelancongan. Dari segi bantuan kepada hotel atau pengusaha penginapan pelancong, ia di bawah bidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Jika ada tempat pelancongan yang sangat berpotensi terjejas akibat banjir, pihak berkaitan boleh salurkan permohonan kepada pihak MOTAC melalui kerajaan negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk kerja-kerja penyelenggaraan tempat tersebut," katanya.

-- BERNAMA

#MOTAC #daftar #hotel #resort