MELAKA: Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) akan terus mempromosi Pulau Langkawi di Kedah kepada pelancong domestik dan antarabangsa, di sebalik dakwaan sesetengah pihak bahawa pulau peranginan tersohor negara itu kurang dikunjungi pengunjung ketika ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ammar Abd Ghapar berkata, ini kerana Langkawi merupakan antara destinasi pelancongan penting kepada negara.

"Saya tak boleh nak komen sangat kerana ia melibatkan banyak polisi, tapi saya percaya di peringkat kementerian (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya - MOTAC) sedang kaji apa masalahnya.

"Kalau MOTAC minta input seperti berapa banyak penerbangan ke Langkawi, kita akan sediakan (kepada kementerian untuk kajian). Kita akan tetap promosikan (Langkawi kepada pelancong)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jerayawara Jom Cuti-cuti Malaysia 2023 yang disempurnakan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya neger, Datuk Zaidi Attan, di sini, pada Jumaat.

Sebanyak 32 pempamer menyertai jerayawara itu yang bermula hari ini hingga Ahad depan.

Beberapa media sebelum ini melaporkan Langkawi bakal menjadi 'pekan hantu' berikutan kekurangan pelancong ke pulau peranginan berkenaan. - BERNAMA