Motosikal bertembung, remaja perempuan maut

Adie Sufian Zulkefli
September 18, 2022 05:00 MYT
Mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian. -Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Perjalanan pulang ke rumah seorang remaja perempuan berakhir tragedi apabila maut dalam kemalangan di Jalan Lencong Barat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, mangsa berusia 19 bersama seorang rakan wanita berusia 20 tahun menunggang motosikal berasingan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di sebuah pasar raya.
“Siasatan polis mendapati, ketika itu mangsa dan rakannya menunggang motosikal dari arah Sungai Jagung menghala Sungai Layar.
“Namun secara tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lelaki berusia 52 tahun datang secara tiba-tiba dari arah bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaidy berkata, akibat pertembungan itu, mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala rakannya dan lelaki yang menunggang melawan arus masing-masing cedera di muka dan tangan kanan.
Mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#Remaja perempuan #kemalangan motosikal #tunggang lawan arus #Jalan Lencong Barat