KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil menjelaskan, Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan akan terus terpakai sekiranya Parlimen tidak dibubarkan selepas 31 Julai depan.

Beliau yang merupakan seorang daripada individu yang menyediakan draf MoU itu berkata, selama ini banyak pihak terkeliru antara tarikh luput MoU dan pembubaran Parlimen.

"Sebagai salah seorang membantu draf MoU dan wakil PH dalam Jawatankuasa Pemandu MoU, memang jelas dalam MoU ada dua perkara yang signifikan berhubung tamat tempoh pelaksanaan MoU dan berhubung pembubaran Parlimen… dua perkara berbeza tapi kadang kala salah anggap, salah erti atau tersilap baca.

"Dalam Perkara 2 MoU ini dinyatakan bahawa MoU diantara kerajaan dan PH berkuatkuasa dan terpakai sehingga bubar Parlimen maksudnya selagi mana Parlimen tidak terbubar selagi itu MoU terpakai," jelasnya.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian dalam sidang media di sini, hari ini.

Sidang media itu diadakan beliau bersama Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil mengenai penganjuran program Debat Perdana antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Fahmi, kandungan MoU terbabit menerangkan kerajaan telah bersetuju untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

Bagaimanapun, jelas beliau, sekiranya berlaku keputusan sebaliknya, terpulang kepada keputusan Jemaah Menteri dan Perdana Menteri dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong.

"Dalam MoU ini juga dinyatakan secara jelas bahawa kerajaan bersetuju tidak bubarkan Parlimen sebelum 31 Julai.

"Kita kena ingat hak untuk membubarkan Parlimen adalah daripada Jemaah Menteri dan Perdana Menteri akan ambil keputusan Jemaah Menteri untuk disampaikan dan menasihati Yang Di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen, keputusan itu akhirnya di tangan Tuanku sama ada untuk bubar atau tidak," jelas Fahmi lagi.

Ditanya sama ada kerajaan boleh membubarkan Parlimen sebelum tempoh luput MoU, beliau berkata, sebarang keputusan perlu dibuat oleh kerajaan dan pembangkang menerusi Jawatankuasa Pemandu MoU.

"Kalau kerajaan setuju buat keputusan bubar Parlimen dalam jangka masa itu, MoU terbatal secara automatik.

"Tetapi apa-apa yang berkait pembubaran lebih awal atau luar daripada keadaan itu, bergantung keputusan dua pihak dan ini biasanya dibincangkan dalam Jawatankuasa Pemandu, sebagai contoh dalam hal berkait Rang Undang-Undang Antilompat Parti sepatutnya diselesaikan bulan Mac.

Fahmi turut memberitahu, setakat ini 13 daripada 18 perkara dalam MoU itu berjaya diselesaikan.