MoU KL - Jakarta bagi pekerja domestik dijangka termetrai awal tahun depan

Bernama
Disember 7, 2021 09:31 MYT
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bersama rakan sejawatanya dari Indonesia, Ida Fauziyah. - Gambar BERNAMA
JAKARTA: Memorandum persefahaman (MoU) Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) antara Malaysia dan Indonesia dijangka dapat dimeterai seawal Januari 2022, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.
Beliau berkata, kedua-dua negara akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal pada 14 Disember 2021 di sini bagi membolehkan kesepakatan dicapai.
"Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia bagi memastikan aspek pengambilan dan perlindungan pekerja warga Indonesia adalah sentiasa terjamin dan kebajikan mereka di Malaysia terpelihara," katanya.
Bercakap kepada media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas rakan sejawat Indonesia, Ida Fauziyah, beliau berkata, Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk perlindungan pekerja Indonesia di Malaysia.
Inisiatif terkini adalah pelancaran Pelan Tindakan Nasional dalam membanteras Buruh Paksa 2021-2025 dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Salah satu Matlamat Strategik dalam Pelan Tindakan ini adalah berhubung Pengurusan Migrasi di mana aktiviti di bawah Matlamat Strategik itu bertujuan menambahbaik tadbir urus dan pengurusan pekerja asing di Malaysia secara keseluruhan.
Kementerian turut melaksanakan e-Wages dalam masa terdekat bagi memantau pembayaran gaji pekerja serta menambah baik tempat penginapan pekerja termasuk pekerja asing menerusi pelaksanaan Centralised Labour Quarters (CLQ).
Mengenai gaji, Saravanan berkata, aplikasi mobil Working for Workers telah dilancar pada 3 Mei 2021 yang membolehkan semua pekerja termasuk pekerja warga asing untuk menyuarakan aduan tanpa perlu hadir secara fizikal ke Pejabat Tenaga Kerja.
"Terdapat 17 kategori aduan yang turut merangkumi indikator buruh paksa ILO," katanya, selain berharap Tenaga Kerja Indonesia (TKI) dan PDI menggunakan sebaiknya medium aduan ini.
Sehingga 5 Oktober 2021, jumlah aduan yang diterima dalam aplikasi ini adalah sebanyak 12,132 kes di mana isu aduan utama adalah berhubung gaji tidak dibayar, pembayaran gaji lewat serta potongan gaji tidak mengikut undang-undang.
Saravanan turut merakamkan penghargaan di atas kerjasama Indonesia dalam bidang perburuhan bagi pengambilan dan penggajian pekerja daripada Indonesia secara skala besar ke Malaysia yang telah bermula sejak tahun 1984 yang merangkumi sektor peladangan, pertanian dan pekhidmat domestik.
"Malaysia menghargai sumbangan TKI dan PDI kepada pembangunan ekonomi Malaysia dan kehidupan rakyat Malaysia," katanya. - BERNAMA
#MoU Kuala Lumpur - Jakarta #pekerja indonesia #Tenaga Kerja Indonesia #pekhidmat domestik Indonesia