KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) dan Gerakan Ekonomi Kreatif Nasional (GeKrafs) Indonesia menerusi memorandum persefahaman (MoU) membuka peluang lebih luas kepada golongan belia untuk membentuk ekosistem industri kreatif di peringkat ASEAN, sekali gus meneroka ruang penciptaan ekonomi di pasaran global.
MoU itu dimeterai di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia pada Isnin, dan disaksikan Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia Datuk Raden Mohammad Iman Hascarya Kusumo serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Presiden MBWP, Khairul Rizam Abu Samah berkata, kerjasama itu menjadi platform strategik bagi menghubungkan bakat dan rangkaian belia kedua-dua negara, khususnya dalam sektor ekonomi kreatif, teknologi dan digitalisasi.
Beliau menjelaskan, usaha itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, sokongan komersial serta peluang penembusan pasaran tempatan dan antarabangsa bagi pengamal kreatif muda.
"Kerjasama ini akan membuka ruang kepada anak muda Malaysia dan Indonesia untuk berkongsi ilmu, membina jaringan, mengembangkan bakat serta meneroka peluang ekonomi baharu dalam industri kreatif.
"Matlamatnya adalah untuk membentuk ekosistem industri kreatif yang lebih kukuh di peringkat ASEAN dan seterusnya mewujudkan ruang penciptaan ekonomi anak muda Malaysia di peringkat global," katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Rizam menambah, kerjasama itu juga merangkumi usaha meningkatkan kesedaran dan pendidikan rentas sempadan mengenai industri kreatif, termasuk perkongsian wawasan mengenai trend semasa serta laluan pertumbuhan ekonomi profesional kepada golongan belia kedua-dua negara.
Menurutnya, MBWP dan GeKrafs akan menghubungkan rangkaian profesional muda serta pengamal sektor kreatif masing-masing bagi membina platform dua hala yang bersepadu untuk perkongsian ilmu, penembusan pasaran dan pelaksanaan inisiatif digital bersama.
Ujarnya lagi, kerjasama itu turut memberi tumpuan kepada peningkatan kapasiti menerusi program pemecutan bakat, kem latihan vokasional, kelas induk teknikal, webinar pengewangan harta intelek (IP) dan bengkel media digital.
"Selain itu, pameran industri kreatif, hackathon, ekspo seni digital dan pertandingan pembentangan idea kreatif akan dianjurkan bagi menyediakan platform kepada pencipta muda mempamerkan karya kepada pelabur serta pasaran antarabangsa," jelas Khairul Rizam.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, kedua-dua pihak akan berkongsi sumber setempat, dokumentasi penyelidikan, lokasi operasi serta hubungan institusi bagi menyokong pelaksanaan program yang dapat memperkasakan ekosistem kreatif diterajui belia di Malaysia dan Indonesia.
Katanya, acara berkenaan akan dirangkaikan dengan Ekraf Talk, Mini Expo dan Padanan Perniagaan Ekonomi Kreatif Indonesia-Malaysia.
"Rangkaian kegiatan itu akan mengangkat peluang kolaborasi dalam sektor ekonomi kreatif, pelaburan, perdagangan, teknologi dan digitalisasi, inovasi berkelanjutan, pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta keusahawanan.
"Inisiatif ini juga akan memperkukuh jaringan antara pelaku industri di kawasan ASEAN, selain menggalakkan interaksi budaya dan penyertaan bersama dalam usaha kreatif, persekitaran ujian teknologi atau sandbox serta program keusahawanan moden," katanya.
Khairul Rizam menegaskan usaha memperjuangkan akses yang saksama, keterangkuman dan mekanisme sokongan setempat juga penting bagi memastikan pelbagai kelompok belia mendapat peluang untuk menyertai ekosistem digital serantau dan platform ekonomi kreatif.