MALAYSIA

MoU MyCEB–Marriott, jadikan Malaysia kuasa baharu Acara Perniagaan global

Malekah Aisyah 04/12/2025 | 07:10 MYT
Sesi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyCEB & Marriott International Malaysia menandakan langkah penting untuk memantapkan sektor Business Events negara. - Foto MyCEB
KUALA LUMPUR: Dalam dunia acara perniagaan yang semakin kompetitif, kerjasama strategik menjadi kunci untuk mengangkat Malaysia di pentas global.


Ringkasan AI
  • Dalam dunia acara perniagaan yang semakin kompetitif, kerjasama strategik menjadi kunci untuk mengangkat Malaysia di pentas global.
  • Menyedari keperluan itu, Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Marriott International Malaysia sebagai satu langkah penting yang memantapkan rangkaian dan keupayaan negara dalam menarik lebih banyak Business Events (acara perniagaan) bernilai tinggi.
  • Majlis pertukaran MoU yang berlangsung di Hotel Marriott turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot serta Pengerusi MyCEB, Sivakumar Varatharaju Naidu.


Menyedari keperluan itu, Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Marriott International Malaysia sebagai satu langkah penting yang memantapkan rangkaian dan keupayaan negara dalam menarik lebih banyak Business Events (acara perniagaan) bernilai tinggi.

Majlis pertukaran MoU yang berlangsung di Hotel Marriott turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot serta Pengerusi MyCEB, Sivakumar Varatharaju Naidu.

Kerjasama ini menggabungkan kepakaran nasional MyCEB dalam memacu acara berimpak tinggi dengan jaringan global serta standard hospitaliti antarabangsa Marriott, sekali gus memperkasa reputasi Malaysia sebagai destinasi Business Events pilihan dunia.

Inisiatif ini selaras dengan pelan strategik MyCEB 2026, “BE Malaysia Go Global: Unlocking New Markets” yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pengaruh Malaysia di pasaran antarabangsa merangkumi Asia Barat Tengah (MENA), Asia Tengah, Eropah Timur serta destinasi yang berkembang pantas di Asia Tenggara.

Antara tetamu kehormat yang yang hadir untuk menyaksikan momen penting pemeteraian (MoU). - Foto MyCEB


Setakat 21 November 2025, MyCEB menjana Anggaran Impak Ekonomi (EEI) sebanyak RM4.08 bilion hasil kehadiran peserta antarabangsa dan secara tidak langsung menjadi bukti komitmen konsisten dan kekuatan ekosistem Business Events negara.

“Memorandum Persefahaman antara MyCEB dan Marriott International Malaysia ini menandakan satu detik penting dalam memajukan landskap Business Events Malaysia melalui kerjasama strategik dan visi bersama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing.

Sementara itu, Sivakumar menegaskan bahawa gabungan kepakaran destinasi MyCEB bersama hospitaliti dan rangkaian global Marriott akan memperkukuh pengalaman delegasi serta menyokong pertumbuhan mampan industri Business Events Malaysia.

Melalui MoU ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam memperkukuh sokongan bidaan, membangunkan peluang perniagaan baharu, melaksanakan misi jualan dan lawatan tapak secara bersama, serta berkongsi kecerdasan pasaran yang dapat meningkatkan visibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa.

Usaha ini juga bertujuan menarik lebih banyak mesyuarat, insentif, konvensyen, pameran dan acara sukan antarabangsa utama untuk dianjurkan di negara ini.

Dalam majlis sama, MyCEB turut melancarkan Malaysia Business Events Promotional Video yang memberi penekanan terhadap kelebihan daya saing Malaysia serta mesej bahawa acara perniagaan bukan sekadar pertemuan, tetapi medium yang mencetus inovasi, menghubungkan komuniti dan menggerakkan impak jangka panjang.

Majlis dimeriahkan dengan tetamu yang hadir untuk mempelajari sendiri makna di sebalik pemeteraian (MoU) ini dan impak terhadap negara. - Foto MyCEB


Melalui kempen ini, MyCEB menekankan peranannya sebagai penghubung utama yang membawa Malaysia lebih jauh ke persada global, memastikan setiap acara meninggalkan legasi kecemerlangan.


#MyCEB #MOTAC #Marriott International Malaysia #Memorandum Persefahaman MoU #acara perniagaan