MoU protokol pertama dimeterai, bolehkan fasa kedua kerjasama ekonomi, perdagangan

Hasimi Muhamad
April 1, 2023 07:00 MYT
Anwar Ibrahim berkata, perjanjian berkenaan akan dimeterai dalam pertemuan beliau bersama rakan sejawatnya Li Qiang pada petang ini. -Bernama
BEIJING: Protokol Pertama untuk Meminda Perjanjian Memperluaskan dan Memperdalamkan Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan membolehkan Malaysia dan China melaksanakan fasa kedua program lima tahun kerjasama dalam kedua-dua sektor tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjanjian berkenaan akan dimeterai dalam pertemuan beliau bersama rakan sejawatnya Li Qiang pada petang ini.
Jelas beliau, memorandum bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu akan memperdalamkan lagi hubungan antara industri di Malaysia termasuk sektor pembuatan peringkat tinggi, ekonomi digital, pembangunan usahawan, serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor pertanian.
"Melangkah ke hadapan, Malaysia akan terus bekerjasama dengan China dalam memperkukuh kerjasama sedia ada dalam Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) dan mengembangkan kerjasama ekonomi dalam bidang pertumbuhan baharu seperti pembangunan hijau dan ekonomi digital," katanya ketika berucap pada Forum Perniagaan Malaysia-China sempena lawatan rasmi ke China, di sini, pada Sabtu.
Anwar menambah, Malaysia juga akan kekal menyokong penuh sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan sama seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Pada masa yang sama, Perdana Menteri menegaskan Selat Melaka akan kekal bebas dan selamat untuk aliran ekonomi dan perdagangan serta kestabilan antarabangsa.
Jelas beliau lagi, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan negara anggota lain untuk memastikan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.
#Anwar Ibrahim #Li Qiang #Lawatan rasmi ke China #Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan