NATIONAL
MoU tidak nyatakan projek jalan utama, terowong dibuat secara tender terbuka - Saksi
Zarul Ahmad berkata pada awal Mei 2011, beliau dimaklumkan oleh Lim Guan Eng bahawa projek berkenaan akan dilaksanakan secara tender terbuka. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, bahawa perjanjian persefahaman (MoU) berhubung projek mega berkaitan pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang tidak menyatakan projek itu dibuat secara tender terbuka.
Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 66, bagaimanapun berkata pada awal Mei 2011, beliau telah dimaklumkan oleh Lim Guan Eng bahawa projek berkenaan akan dilaksanakan secara tender terbuka.
"Memang dalam MoU tidak sebut pasal open tender, namun tiga mesyuarat yang kami hadir bersama kerajaan negeri menunjukkan open tender itu 'staged for us' untuk kami dapatkan projek kerana dokumen permintaan untuk cadangan (RFP) disediakan dengan kami dan ia memberi kami kelebihan.
"Apabila RFP dipanggil untuk pembida lain, mereka hanya diberi masa yang singkat untuk menyediakan submission bagi RFP," katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat pada perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang berdepan empat pertuduhan membabitkan projek tersebut.
Saksi pendakwaan ke-27 itu berkata berdasarkan lawatan kerajaan negeri ke syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG) di China, tiga mesyuarat itu dan pemeteraian MoU berkenaan, ia menunjukkan projek tersebut diberi kepada syarikatnya secara rundingan terus.
Beliau berkata sejak tahun 2011 lagi, mereka telah dimaklumkan mengenai projek terbabit dan mereka juga adalah satu daripada pihak yang terlibat dalam penyediaan RFP, selain mengetahui tentang maklumat dalaman.
"Lawatan ke China pun dibuat para Exco kerajaan Pulau Pinang dan ia hanya buat CZBUCG, bukan syarikat China lain yang masuk dalam tender. Jadi saya katakan pelantikan CZBUCG untuk projek itu adalah pelantikan yang telah disusun atur," katanya.
Sementara itu Zarul Ahmad turut memaklumkan ada menerima wang berjumlah RM79 juta hasil penjualan tanah lot 702, dengan sebahagian daripada wang itu telah ditunaikan dan disimpan dalam peti besi di pejabat beliau.
"Saya simpan sebahagian daripada wang itu dalam peti besi untuk digunakan sekiranya terdapat kecemasan dan memandangkan pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi. Saya akan memberi sumbangan kepada mereka yang saya sokong," katanya.
Ketika ditanya Mahadi adakah terdapat wang dalam peti besi semasa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) datang ke pejabat, Zarul Ahmad menjawab "Ada, mereka datang bukan untuk geledah cuma ambil dokumen sahaja".
Selain itu Zarul Ahmad berkata Lim mengarahkan beliau mengadakan sidang media untuk menyatakan bahawa syarikatnya tidak terlibat dalam rasuah bagi projek tersebut, dan ia bertujuan membersihkan nama bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dan syarikatnya.
"Saya diarah oleh YB Lim Guan Eng untuk buat sidang media bagi membersihkan nama syarikat, nama beliau (Lim), dan nama saya sendiri, sebagaimana yang telah diasak oleh kerajaan sebelum Pakatan Harapan -jadi saya ikut perintah.
"SPRM tidak pernah ugut, oleh kerana saya antara individu terakhir dipanggil memberi keterangan, saya tiada pilihan kecuali memberitahu perkara sebenar selepas agensi itu membentangkan butiran kukuh hasil siasatan kepada saya," katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 27 Mei ini.
-- BERNAMA