PETALING JAYA: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) hari ini melancarkan Anugerah Media Akademi Dalam Industri (ADI) 2026 sebagai langkah strategik bagi mengiktiraf peranan pengamal media dalam memperkukuh agenda produktiviti serta pembangunan modal insan negara.
Inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Malaysia Press Institute (MPI) itu bertujuan menghargai sumbangan media dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap program ADI, dengan fokus kepada aspek produktiviti, inovasi dan pembangunan bakat.
Advertisement
Timbalan Ketua Pengarah MPC, Mohamad Norjayadi Tamam berkata, anugerah tersebut bukan sahaja memberikan pengiktirafan kepada karya berimpak tinggi, malah turut menggalakkan pelaporan tepat berasaskan data.
“Anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan media dalam menghasilkan karya berimpak tinggi, tetapi juga menggalakkan penyampaian dan pelaporan yang jelas, tepat serta berasaskan data,” katanya dalam ucapan pelancaran Anugerah Media ADI 2026, di sini.
Beliau berkata pelantikan MPI sebagai sekretariat adalah selaras dengan kepakaran institusi itu dalam pembangunan profesional kewartawanan, pengurusan anugerah media, serta jaringan luas bersama organisasi media di seluruh negara.
“Peranan MPI bukan sahaja tertumpu kepada aspek penyelarasan dan pengurusan pertandingan, malah turut melibatkan pemantauan proses penilaian, penglibatan panel juri serta memastikan standard kewartawanan yang tinggi dipatuhi sepanjang penganjuran anugerah ini,” katanya lagi.
Sebanyak tiga kategori utama diperkenalkan iaitu Media Cetak atau Portal Berita, Media TV dan Radio serta Portal Video Dalam Talian, selain kategori Media Sosial bagi kandungan video pendek.
Penyertaan dibuka bermula hari ini hingga 2 Ogos, manakala pemenang akan diumumkan pada 23 September depan.
Dalam pada itu, MPC turut memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Diploma Profesional Kewartawanan MPI-MPC di bawah kerangka ADI bagi memperkasakan pengamal media dengan kemahiran baharu selari dengan perkembangan teknologi.
Dua program yang ditawarkan ialah Professional Diploma in Artificial Intelligence (AI) Journalism dan Professional Diploma in Cybersecurity Journalism yang akan dijalankan selama enam bulan bermula Julai ini dengan sasaran 40 peserta pertama.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Ainol Amriz Ismail berkata, program itu bertujuan memahirkan wartawan dalam penggunaan AI serta aspek keselamatan siber, termasuk pengesanan berita palsu dan perlindungan data organisasi media.
“Kita juga bekerjasama dengan London Examinations Board serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Space untuk pensijilan antarabangsa,” kata Ainol Amriz.
Inisiatif ADI merupakan program nasional yang memberikan fokus kepada pembangunan bakat berasaskan industri melalui pendekatan latihan di tempat kerja atau "place and train", termasuk pensijilan kemahiran serta laluan akademik bersepadu.