MPM arah henti kerja korek pasir di Pantai Pasir Panjang

Bernama
Januari 2, 2022 20:33 MYT
Persatuan Aktivis Sahabat Alam menerusi Twitter sebelum ini memuat naik dua keping gambar memaparkan aktiviti mengorek pasir di kawasan berkenaan yang merupakan zon sensitif alam sekitar tahap satu. - Foto Facebook Persatuan Aktivis Sahabat Alam
IPOH: Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah mengeluarkan notis henti kerja ke atas projek korek pasir yang didakwa dijalankan di kawasan pendaratan penyu Tanjung Gemuk, Pantai Pasir Panjang, di Manjung.
Yang Dipertua MPM Syamsul Hazeman Md Salleh berkata lesen dan permit bahan batuan serta mineral bagi kerja-kerja terbabit dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
"Sehingga kini pihak MPM belum menerima permohonan rasmi melibatkan kebenaran kerja tanah," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.
Persatuan Aktivis Sahabat Alam menerusi Twitter sebelum ini memuat naik dua keping gambar memaparkan aktiviti mengorek pasir di kawasan berkenaan yang merupakan zon sensitif alam sekitar tahap satu.
Menurut persatuan itu kawasan sensitif alam sekitar tahap satu adalah kawasan yang tidak boleh dijalankan sebarang jenis aktiviti pembangunan selain pelancongan terkawal dan penyelidikan sebagaimana dinyatakan dalam peraturan atau Rancangan Fizikal Negara serta Rancangan Tempatan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak Rosli Zul ketika dihubungi berkata pihaknya akan melakukan semakan sebelum mengambil tindakan lanjut.
-- BERNAMA
#pendaratan penyu #Pantai Pasir Panjang #Majlis Perbandaran Manjung #projek korek pasir