MPN: Pelaksanaan dasar berasaskan bukti jadi fokus Dr Adeeba

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 5, 2021 07:05 MYT
Pakar penyakit berjangkit itu menegaskan, beberapa perkara termasuk indikator dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) perlu diperbaiki. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan dasar berasaskan bukti menjadi antara perkara utama yang akan diutarakan Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dalam mesyuarat pertama Majlis Pemulihan Negara (MPN) esok.
Pakar penyakit berjangkit itu menegaskan, beberapa perkara termasuk indikator dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) perlu diperbaiki.
“Perkara yang paling penting adalah pelaksanaan dasar berasaskan bukti dan sains disebalik pandemik COVID-19 ini.
“Perlu saya katakan di sini bahawa, indikator yang ditetapkan (dalam pelaksanaan SOP) merupakan antara perkara yang perlu diperbaiki.
“Data dan analisis dalam merangka sebarang dasar adalah sangat penting.
“Jadi ini perkara yang akan saya tekankan esok,” katanya ketika ditemu bual Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Amanah Investment Bank, Datuk Dominic Silva dalam program ‘MIDF Conversations’ yang berlangsung secara maya pada Khamis.
Dr Adeeba yang juga merupakan anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata koordinasi dalam pelaksanaan SOP juga penting dalam proses peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Amat penting untuk kita semua mempunyai sifat kebersamaan dalam apa sahaja SOP yang dilaksanakan, untuk melihat sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak.
“Saya fikir, perkara itu tidak berlaku seperti yang sepatutnya.
“Koordinasi dan kerjasama antara agensi atau di dalam agensi itu boleh ditambah baik.
“Ia termasuk kerjasama luar, iaitu bukan sahaja dengan para usahawan, tetapi juga badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti,” ujarnya.
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia #penyakit berjangkit #COVID-19 #SOP #WHO #MIDF #Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman