MPN perkenal 'brain gain' diaspora bakat Malaysia

Bernama
Jun 7, 2022 20:51 MYT
RADUAN: Kita tidak akan menyekat mereka keluar menimba ilmu, pada masa sama kita tidak boleh kehilangan peluang untuk mendapatkan sumbangan mereka. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Majlis Profesor Negara (MPN) memperkenalkan program 'brain gain' diaspora bakat Malaysia di luar negara untuk membolehkan mereka berbakti kepada negara, kata Presidennya Datuk Dr Raduan Che Rose.
Beliau berkata ramai bakat Malaysia berhijrah ke negara luar bagi menimba ilmu serta mencari peluang lebih baik, dan program 'brain gain' itu menjadi satu kerangka khusus 'menyatupadukan' kesemua mereka di bawah satu platform agar khidmat mereka dapat digunakan dalam proses pembangunan negara.
"Kita tidak akan menyekat mereka untuk keluar menimba ilmu, pada masa sama kita tidak boleh kehilangan peluang untuk mendapatkan sumbangan mereka.
"Jadi, MPN akan sediakan satu pangkalan data berhubung bakat kita di negara luar. Mereka tidak perlu pulang ke Malaysia dan kita akan berhubung secara virtual," katanya pada sidang media selepas perbincangan meja bulat MPN mengenai Keluarga Malaysia di sini pada Selasa.
Menurut laporan media, negara kehilangan 500,000 rakyat yang berkemahiran tinggi dan berbakat dalam bidang profesional kerana memilih untuk berkhidmat di luar negara.
Laporan berkenaan antara lain turut mengesyorkan kerajaan mewujudkan badan diaspora untuk mengumpul pakar tempatan yang berada di luar negara.
-- BERNAMA
#MPN #brain gain #diaspora Malaysia #pangkalan data