KUALA LUMPUR: Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju agar satu Pasukan Petugas Khas dibentuk bagi memperhalusi isu pembiayaan, tenaga kerja dan keperluan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta golongan rentan.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasukan berkenaan akan melibatkan Kementerian Kewangan; Bank Negara Malaysia; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan lndustri; Kementerian Sumber Manusia serta kementerian-kementerian Iain yang berkaitan.

Jelas beliau, Pasukan Petugas Khas itu akan membentangkan kajian terperinci dan syor-syor dalam masa sebulan kepada MPN untuk pertimbangan.

"Majlis telah membincangkan bentuk bantuan kepada PKS dalam fasa pemulihan terutama berhubung isu kecairan dan kekurangan tenaga kerja serta pengagihan bantuan makanan kepada golongan rentan.

"Mengambil kira pelbagai bantuan dan inisiatif sedia ada berkaitan kewangan dan penyediaan tenaga kerja kepada PKS, di bawah pelbagai Kementerian dan Agensi, Majlis berpandangan bahawa satu analisis yang lebih terperinci perlu dibuat.

"Ini demi memastikan industri-industri yang terkesan berdasarkan statistik-statistik terkini dikenal pasti bagi memastikan penyelesaian jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang lebih berfokus dapat dilaksanakan segera," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) keempat di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM), di sini, pada Jumaat.

Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen (KPR); Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen (DAP); Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Amanah); serta Tan Sri Bernard Giluk Dompok, yang mewakili Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Selain itu Muhyiddin menambah, MPN juga bersetuju supaya agihan bantuan makan kepada golongan rentan perlu lebih berpendekatan Seluruh Negara.

Jelasnya, peranan badan bukan kerajaan (NGO) dalam hubungan tersebut perlu diperkasa dengan bantuan dan kerjasama semua agensi yang terlibat dalam pemberian bantuan.